Acara

Mohd Khamil kagum ketekunan Raja Muda Perlis ketuai Kayuhan MAIPs Peduli sejak lebih sedekad

ARAU 21 Feb. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail cukup sinonim sebagai pemimpin Diraja yang merendah diri dan sentiasa dekat di hati rakyat. Baginda tidak pernah lelah berusaha menyantuni semua lapisan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Antara inisiatif terpuji Baginda ialah mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak lebih daripada sedekad yang lalu. Program ini menyaksikan Tuanku Raja Muda berbasikal merentas kampung tanpa mengira masa atau cuaca demi menyampaikan bantuan dan mendekati golongan asnaf.

“Saya menyaksikan sendiri bagaimana Baginda menitipkan pesanan penuh makna kepada anak-anak UiTM agar sentiasa bersyukur, beradab mulia, dan menghargai setiap bantuan yang diterima,” kongsi Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, seorang tokoh koporat disegani, yang turut mengiringi Baginda sempena kayuhan amal anjuran MAIPs dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis pada kali ini.

Turut serta pada kayuhan tersebut adalah Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Nizan Mat Noor dan ketua-ketua agensi dan jabatan Negeri serta Persekutuan.

Sebagai simbolik memperingati 51 tahun penubuhan UiTM Cawangan Perlis, Baginda berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok bunga kertas di Bulatan UiTM Arau diiringi sama pengurusan tertinggi universiti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sendiri sumbangan MAIPs serta UiTM kepada asnaf-asnaf yang terpilih pada edisi kali ini iaitu Che Teh Che Din, 86 tahun dari Kampung Kebun, Haminah Ismail, 73 tahun dari Kampung Huma dan Rusmina Ismail, 63 tahun dari Kampung Guring Bawah.

Para asnaf tersebut masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits Maips Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.

Baginda dan delegasi turut singgah meninjau surau di Kampung Kebun yang sedang dalam proses kerja-kerja penambahbaikan.

GALERI FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button