Uncategorized

Mohd. Isa nafi terima RM3 juta daripada pegawai khasnya

Mohd. Isa berhadapan sembilan pertuduhan rasuah

BEKAS Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Samad dalam pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menafikan dirinya menerima wang sebanyak sembilan kali berjumlah RM3 juta daripada Muhammad Zahid Md Arip yang ketika itu merupakan pegawai khas politiknya berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Sarawak pada 2014.

BERNAMA melaporkan, Mohd. Isa berkata, beliau tidak pernah membincangkan ataupun bertanya kepada Zahid mengenai status pembelian MPHS.

“Saya tidak pernah mengarahkan Zahid untuk meminta agar Haji Ikhwan (ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel) memberikan ganjaran kepada saya kerana telah membantu meluluskan pembelian MPHS.

“Saya juga tidak pernah mengirimkan apa-apa salam kepada Haji Ikhwan kerana beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saya dan saya langsung tidak mengenalinya secara peribadi,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Kata Mohd. Isa lagi, setiap kali Zahid datang ke pejabatnya (pejabat Mohd. Isa), Zahid hanya akan membawa dokumen dan tidak pernah membawa apa-apa beg kertas ataupun apa-apa beg besar lain.

“Sebagai ahli politik, saya merupakan seorang yang berhati-hati dan tidak mungkin akan menerima wang.

“Apatah lagi dengan jumlah yang begitu banyak di Menara Felda di mana orang ramai terutamanya staf-staf saya boleh melihatnya.

“Pergerakan saya juga sentiasa ditemani oleh pengawal dan pemandu saya. Jadi, sekiranya saya ada menerima wang dalam kuantiti yang begitu banyak, tidak mungkin saya dapat membawanya sendiri dan tidak mungkin juga untuk saya membenarkan pengawal untuk membawa duit sebegitu banyak,” ujar Mohd. Isa.

Mohd. Isa juga berkata, beliau tidak pernah membantu dan meluluskan pembelian MPHS kerana beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Saya sendiri telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pembelian MPHS tersebut. Jadi, mengapakah secara tiba-tiba, saya meminta wang pula?

“Saya tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada Haji Ikhwan dan beliau juga tidak pernah menjanjikan apa-apa imbuhan kepada saya.

“Saya langsung tidak terlibat atau mengetahui berkenaan apa-apa perbincangan yang berlaku di antara Haji Ikhwan dengan Zahid Md Arip,” kata Mohd. Isa.

Katanya lagi, beliau juga tidak memahami bagaimana boleh timbul perkataan ‘Salam’ sedangkan beliau tidak pernah berikan apa-apa salam kepada Ikhwan.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-16, Zahid memberitahu mahkamah bahawa setiap kali Mohd Isa akan menyampaikan ‘salam’ kepada Ikhwan ia adalah satu petanda yang menunjukkan Mohd Isa memerlukan wang.

Ketika ditanya peguamnya, Datuk Salehuddin Saidin semasa pemeriksaan utama bilakah Zahid dipecat daripada jawatannya, Mohd. Isa menjawab “awal 2017 kerana ketika itu beliau mula menyokong Parti Harapan.”

Mohd. Isa dilantik sebagai pengerusi FICSB pada 2 Julai 2013 ketika FICSB mula-mula ditubuhkan oleh Felda dan beliau juga merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah FICSB.

Namun Mohd. Isa telah menamatkan perkhidmatannya pada  25 Januari 2017 setelah empat tahun memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Mohd. Isa didakwa atas sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB  bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – SM

 

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button