Ekonomi

Mohd Bakke dilantik sebagai Pengerusi PETRONAS

Tan Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh.

Ahmad Nizam dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa pada 1 Ogos depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi PETRONAS.

“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di PETRONAS dalam pelbagai jawatan, beliau telah berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19. PETRONAS masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” kata Muhyiddin.

Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC. Pengalaman beliau di PETRONAS dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.

Mohd Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa PETRONAS melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang.

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button