fbpx
MahkamahPolitik

Mohamed Azmin disaman pengundi Gombak dakwa khianat kepercayaan

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disaman oleh pengundinya sendiri di Gombak.

Satu penfailan saman dibuat seramai 10 orang melalui peguam, Yohendra Nadarajan di Mahkamah Tinggi pada minggu lalu terhadap Mohamad Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Tindakan saman itu dibuat apabila mereka mendakwa Mohamed Azmin menipu dan mengkhianati kepercayaan diberi sebagai wakil rakyat.

Dalam saman tersebut, mereka mahukan satu pengisytiharan Mohamed Azmin melanggar sumpahnya di bawah Perkara 59(1) yang dibaca bersama Jadual 6 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, plaintif juga menuntut ganti rugi dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Berdasarkan kepada fakta penfailan saman, bekas Menteri Besar Selangor itu mencalonkan diri untukbertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Beliau dikatakan bertanding untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) dan membebaskan Malaysia daripada pemimpin yang dikatakan sebagai perasuah.

Bagaimanapun, beliau dikatakan berlaku khianat apabila bergabung dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu.

Oleh demikian, Pakatan Harapan (PH) jatuh susulan beliau dilihat bersama-sama pemimpin BN di Hotel Sheraton pada bulan sama.

Sedangkan sebelum itu, bekas Timbalan Presiden PKR itu dilapor berjanji untuk mematuhi manifesto PH pada PRU-14 bagi membetulkan kesilapan yang dibuat oleh Kerajaan BN.

Malah, beliau juga dikatakan menyeru kepada pengundi dengan menyatakan PRU-14 adalah penting agar rakyat mendapat kepimpinan yang bertanggungjawab dan boleh diharapkan menerusi satu kenyataan dalam Facebook yang dimuat naik pada 27 April 2018.

Mohamed Azmin juga didakwa berkempen untuk partinya ketika itu menyeru pengundi supaya memilih PKR  bagi membentuk pemerintahan yang kompeten dan stabil.

“Beliau juga mengatakan bahawa musuhnya adalah mereka yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO dan BN.

“Beliau melabel penyokong seperti pengkhianat,” kata plaintif seperti dilapor portal Free Malaysia Today hari ini.

Mereka menambah, Mohamed Azmin pernah berjanji untuk bersama dalam PKR dan PH bagi memastikan janji-janji dalam manifesto akan ditunaikan sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, pada Februari lalu, bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika krisis politk memuncak dalam perebutan kuasa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Kerajaan PH tumbang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin  dipilih sebagai Perdana Menteri ke-8.

Muhyiddin, dalam pembentukan kabinetnya, mengumumkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Ahli Parlimen BN yang lain. – SM

 

(Visited 828 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button