fbpx
Politik

Mohamad Sabu kekal terajui Amanah sesi 2019/2022

MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bagi tempoh 2019/2022 apabila dipilih dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang diadakan malam tadi.

Turut mengekalkan jawatan adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahudin Ayub sebagai Timbalan Presiden Amanah.

Jawatan Naib Presiden Amanah pula mengekalkan tiga pemimpin utamanya iaitu Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Keputusan pemilihan jawatan-jawatan utama parti itu diumumkan oleh Speaker Amanah bagi penggal 2016/2019, Onn Jaafar sewaktu Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Malam tadi telah diadakan pemilihan secara sistem e-undi melibatkan 821 perwakilan untuk memilih speaker, timbalan speaker dan dua juruaudit serta 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi penggal 2019/2022. Pengumuman pemilihan telah dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dr Zulqarnain Lukman malam tadi.


Perlembagaan parti memperuntukkan bahawa sebaik keputusan pemilihan diumumkan, speaker hendaklah memanggil satu mesyuarat dalam kalangan 27 orang yang dipilih bersama dengan Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Wanita Muda dan 14 Pengerusi Negeri.

Ia bagi memilih daripada kalangan 27 ahli jawatankuasa itu jawatan presiden, timbalan presiden dan tidak lebih tiga naib presiden.

Presiden pula boleh melantik dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional tidak lebih dua naib presiden, setiausaha agung dan beberapa jawatan lain bagi mentadbir urus parti. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button