Politik

Mohamad Ali akur MCA bertanding di Parlimen Tangga Batu

KETUA UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menerima dengan hati terbuka keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) meletakkan Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong bertanding di Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu, walaupun senarai nama calon BN akan diumumkan malam ini namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah meminta UMNO Bahagian Tangga Batu memberi laluan kepada calon daripada MCA bertanding di kerusi tersebut.

Tegas Mohamad Ali, sebagai orang parti, beliau akur dengan apa saja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti Malah beliau tidak berkecil hati walaupun pada mulanya namanya disebut-sebut akan dicalonkan oleh BN untuk bertanding di Tangga Batu.

“Kerja keras yang dilakukan sejak BN tewas pada PRU14 bukan dilakukan saya semata-mata tetapi rakan-rakan kepimpinan bahagian. Kita bukan untuk meletakkan seseorang tetapi bekerja untuk parti kerana inilah semangat yang ada demi kebaikan BN itu sendiri.

“Kami di sini telah sepakat untuk menerima sebulat suara keputusan yang dibuat oleh BN apabila meletakkan calon MCA bertanding di Parlimen Tangga Batu.

“Sebagai ahli parti dan pendokong BN, kami bersedia menerima siapa sahaja yang diarahkan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di sini dan seluruh jentera akan bekerja keras dan memastikan kemenangan BN,” katanya dalam sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang Permai, malam tadi.

Terdahulu Mohamad Ali mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Bahagian, 70 Ketua Cawangan dan Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memaklumkan tentang keputusan BN

Pada pilihan raya sebelum ini MCA sering bertanding di Alor Gajah dan Kota Melaka yang menjadi tradisi bagaimanapun di saat akhir calon parti komponen BN itu bertukar ke Tangga Batu.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, beliau mendapat tahu mengenai perkara tersebut selepas dihubungi oleh BN lewat petang semalam.

Begitupun, pada mulanya nama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan disebut akan bertanding di Tangga Batu namun bertukar tempat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang.

Beliau menegaskan tidak ada PDM akan ditutup atau ahli parti memboikot ekoran keputusan BN meletakkan calon MCA bertanding di Tangga Batu dan bukan dirinya.

“Isu boikot atau PDM ditutup tidak timbul kerana semangat ahli parti bekerja ke arah kemenangan. Kita nak menang cemerlang bukan sahaja di Tangga Batu tetapi juga di seluruh negara,” katanya. – SM

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button