Nasional

Moga Daulat Tuanku memayungi rakyat jelata

Kaji semula keputusan tamat darurat, benarkan Parlimen bersidang

NEGARA yang paling tinggi kadar vaksinasi Covid-19 dengan dos kedua di dunia adalah Israel. Dalam masa terdekat negara berkenaan akan mencapai tahap kekebalan komuniti.

Namun kebimbangan mula dirasai apabila penduduk negara berkenaan semakin alpa dan cuba kembali hidup normal berbanding sebelum penularan wabak pandemik.

Jika sebelum ini mereka menahan diri daripada bertemu dengan orang lain, kini pergaulan semakin terbuka.

Kebimbangan itu ada asasnya kerana vaksin bukanlah perisai kalis peluru yang dapat melindungi 100 peratus daripada jangkitan wabak berkenaan. Vaksin hanya melindungi maksimum sekitar 90 peratus bergantung kepada tindak balas individu.

Dengan penularan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dan menyebabkan kematian dengan cepat, risiko tetap tinggi walaupun telah disuntik dua dos vaksin.

Apatah lagi negara kita yang masih jauh daripada mencapai kekebalan keseluruhan komuniti, kita tidak boleh alpa dan mengambil mudah dengan situasi ini.

Peningkatan kes mendadak membuktikan situasi getir itu bukanlah satu yang direka-reka dengan semalam jumlah kes baharu harian sahaja hampir mencapai 10,000 kes.

Dijangkakan situasi itu kita tidak akan melihatkan penurunan kes mendadak, di sebalik pelbagai langkah yang telah diambil oleh kerajaan.

Negeri Selangor dan Kuala Lumpur penyumbang terbesar kepada penularan wabak kini masih bertungkus-lumus mengekang penularan dengan meningkatkan vaksinasi penduduk.

Pada masa yang sama ahli politik terus membuat kacau dengan mendesak kerajaan mengadakan sidang parlimen dan tidak kurang juga ahli politik yang mengganggu kestabilan negara dengan cuba menjejaskan tumpuan memerangi Covid-19 kepada isu yang tidak relevan.

Kita masih ingat bagaimana negara kita hampir berjaya menumpaskan Covid-19. Bagaimanapun kerana sikap alpa kita dan membiarkan ahli politik yang tamakkan kuasa mengadakan pilihan raya negeri Sabah, kini negara terjerumus ke dalam krisis wabak yang kronik.

Jalan keluar dari krisis wabak pada akhir tahun ini yang dirancang melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga semakin kabur, melihatkan trend penularan pandemik ini.

Nafsu rakus ahli politik juga dan sama marak dengan penularan wabak. Mereka tidak pernah insaf, hingga berjaya mendesak Istana untuk memaksa kerajaan mengadakan persidangan Parlimen dalam situasi kita berperang.

Negara kita sedang berperang dan bukan sahaja Malaysia yang mengisytiharkan darurat, bahkan negara serantau juga mengambil langkah yang sama.

Kerajaan terpaksa akur titah Istana dan bakal mengadakan persidangan Parlimen pada 26 Julai ini.

Rasanya masih tidak terlambat untuk Yang di-Pertuan Agong untuk menghentikan dan menarik balik keputusan itu demi melindungi rakyat daripada nafsu serakah politik.

Bagi rakyat persidangan Parlimen tidak mempunyai sebarang makna kerana mereka setiap hari perlu berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup dan apa yang mereka harapkan adalah santunan daripada pihak kerajaan secara berterusan.

Kini rakyat berharap Istana untuk melindungi mereka dan tidak akur kepada tekanan ahli politik tempoh.

Yang di-Pertuan Agong satu-satunya harapan untuk melindungi rakyat pada masa ini.

Moga Daulat Tuanku terus memayungi rakyat jelata.

 

(Visited 300 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button