Ekonomi

Ramai tidak sentuh langkah perkembangan masa depan, hanya pertumbuhan KDNK

Wadah Ekonomi MADANI akan menjadi induk kepada penstrukturan semula secara menyeluruh ekonomi Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata ketika ini banyak pihak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) sebagai tajuk utama, tetapi tidak menyentuh mengenai langkah perkembangan masa hadapan.

Justeru, beliau berkata adalah penting untuk Malaysia mula memberi tumpuan kepada pertumbuhan berkualiti yang inklusif dan mampan dalam jangka masa panjang.

“Rangka kerja Ekonomi MADANI akan menjadi teraju utama penyusunan semula ekonomi negara dan mencapai sasaran.

“Dalam rangka kerja ini, ekonomi Malaysia akan melihat transformasi pelbagai perkara utama,” katanya dalam sidang media bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 di sini, hari ini.

Perincian lanjut mengenai Ekonomi MADANI dijangka akan turut disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Parlimen pada 11 September ini.

Abdul Rasheed berkata, transformasi yang digariskan dalam Ekonomi MADANI seperti menggiatkan semula sektor perindustrian disokong oleh pelaburan berkualiti yang mewujudkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.

Beliau berkata, ia juga akan membolehkan Malaysia mencapai ekonomi berdaya tahan iklim dan lebih hijau serta penambahbaikan tadbir urus fiskal.

“Ia juga akan membawa kepada ketelusan, yang kemudiannya mampu meningkatkan keyakinan daripada pelabur dan penarafan agensi kredit,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif utama untuk memacu pertumbuhan itu termasuklah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

“Dalam jangka masa pendek, kita boleh menjangkakan untuk melihat sokongan positif kepada pertumbuhan daripada pelaksanaan beberapa projek pemangkin penting di bawah NETR,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, Ekonomi MADANI juga akan membantu pengukuhan pasaran buruh negara yang terus terus bertambah baik pada suku kedua tahun ini dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.4 peratus pada Jun lalu didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil.

Katanya, segmen yang terdedah seperti wanita dan belia juga pulih ke tahap sebelum pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan seperti penyertaan dalam kalangan buruh wanita masih rendah. Penyertaan lebih besar peratusan buruh wanita ini juga salah satu daripada bidang tumpuan rangka kerja ekonomi MADANI,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, keadaan pembiayaan yang menyokong dan penerusan projek baharu serta sedia ada akan turut menyokong pertumbuhan pelaburan pada 2023.

Beliau berkata, pertumbuhan negara akan terus disokong oleh aktiviti pelaburan dengan pembiayaan untuk modal perbelanjaan masih akan datang, begitu juga dengan niat pelaburan.

“Melangkah ke hadapan, ekonomi akan mendapat manfaat daripada realisasi pelaburan baharu dan projek sedia ada, terutamanya projek infrastruktur mega.

“Kemajuan pelaburan ini adalah kritikal bukan hanya untuk menyokong pertumbuhan segera, tetapi juga untuk meningkatkan potensi pertumbuhan masa depan Malaysia.

“Pelaksanaan projek pemangkin, seperti yang diumumkan di bawah Fasa 1 NETR juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan dalam jangka masa sederhana,” katanya.

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button