Politik

MKT pecat seorang ketua bahagian, dua ketua wanita bahagian

Seorang Ketua Bahagian UMNO serta dua Ketua Wanita Bahagian dipecat oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.

Mendedahkan perkara tersebut ahli MKT, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ketiga-tiga mereka dikenakan tindakan disiplin kerana mencela parti dan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti individu terbabit sebaliknya memberitahu kesemua mereka bukan ahli MKT.

“Ada dipecat, ahli UMNO bukan MKT. Tiga orang, dua daripadanya ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen untuk pihak lawan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn di sini malam tadi.

Mohd. Puad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi amat bertegas dalam isu disiplin.

Jelasnya, Ahmad Zahid menegaskan tidak akan sekali berkompromi dengan ahli yang burukkan parti termasuk membocorkan inti pati mesyuarat parti kepada pihak luar.

“Kita minta parti bertindak tegas, kenakan tindakan disiplin kepada mereka yang bukan sahaja mencemuh parti tetapi mencemuh Presiden parti,” ujarnya.

Suara Merdeka difahamkan ketua bahagian yang dipecat datang dari Pantai Timur termasuk seorang ketua wanita bahagian manakala seorang lagi dari Utara.

Terdahulu, dalam mesyuarat MKT yang berlangsung lebih dua jam itu, dua naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak hadir.

Difahamkan, Ismail Sabri tidak menghadiri mesyuarat MKT kerana perlu menghadiri program lain, manakala Mahdzir tidak dapat dipastikan kenapa beliau tidak hadir malam ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan Ismail Sabri tidak hadir pada mesyuarat itu kerana perlu menghadiri program lain.

Tidak dapat dipastikan mengapa Mahdzir tidak hadir pada mesyuarat berkenaan. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button