Nasional

300,000 miskin bandar dapat bantuan tunai RM100 juta sejak 1 Julai

Program Prihatin Kasih bagi menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar telahpun bermula pada 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur.

Program tersebut dimulakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, program bantuan barangan dapur tersebut disalurkan secara tanpa tunai melalui penggunaan MyKad.

Program Prihatin Kasin akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta.

Menurutnya, keluarga yang menerima Prihatin Kasih dipilih daripada keluarga miskin bandar dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih dan semak silang dengan pengkalan data Bantuan Prihatin Rakyat.

“Prihatin Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah.

“Program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit,” katanya dalam satu kenyataan.

Prihatin Kasih merupakan salah satu pakej pemulihan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa). Fasa Pertama program itu di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklum balas positif daripada penerima.

Fasa Kedua melibatkan Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu bermula Ogos nanti. Fasa seterusnya melibatkan Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak dari September hingga Oktober.

Penerima Prihatin Kasih yang layak akan menerima SMS dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat beserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.

Program MyKasih ini merupakan pelengkap kepada Program Bakul Makanan yang telahpun diumumkan di bawah pelbagai pakej-pakej bantuan sebelum ini.

Di bawah Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI) kerajaan memperkenalkan Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta.

Dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kerajaan memperkenalkan Program Bakul Makanan nasional dengan peruntukan RM80 juta.

Di bawah program ini setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang menerima RM300,000 sebagai peruntukan untuk bakul makanan rakyat.-SM

 

 

 

 

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button