Nasional

PM adakan pertemuan dengan 24 syarikat pengendali P-Hailing

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan parcel hailing (P-Hailing), hari ini.

Perdana menteri berkata, ia adalah susulan komitmen yang beliau berikan semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu. 

“Menteri Pengangkutan, Menteri Komunikasi dan Digital, Menteri Sumber Manusia serta Pegawai Kanan Kementerian turut hadir dalam sesi ini. Saya telah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran . 

“Semasa sesi ini, lima orang wakil daripada penghantar turut sama hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat. 

“Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran (upskilling). Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar lembah klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, kata Anwar, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia. 

Kesemua Syarikat pengendali, kata beliau, telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.

Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat, katanya.

“Ikhtiar ini membuktikan Kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan,” jelas beliau. 

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button