Uncategorized

Maritim Malaysia siapsiaga kawal perairan negara sewaktu Aidilfitri

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH 15 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melancarkan Operasi
Khas Pagar Laut siri 1/2022 (Op Khas Pagar Laut) bermula 19 April hingga 17 Mei 2022 di seluruh perairan
negara bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya tidak akan mengurangkan
kesiapsiagaan operasi sebaliknya sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri akan berterusan mengukuhkan
kawalan operasi keselamatan terutama di setiap titik panas perairan negara.

Menurutnya, penjenayah sering mengambil kesempatan sewaktu petugas keselamatan bercuti atau meraikan
Aidilfitri untuk melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta jenayah lain berkaitan
melalui jalan laut.

“Menyedari trend aktiviti jenayah melalui jalan laut meningkat sewaktu musim perayaan langkah pencegahan
yang efektif dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

“Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun ketujuh ia melibatkan
semua Maritim negeri termasuk Zon Maritim berikutan cabaran dan ancaman yang berbeza antara
negeri-negeri lain.

“Sebagai contoh negeri-negeri di sepanjang Selat Melaka berhadapan dengan aktiviti penyeludupan dadah,
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan kontraband,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota Maritim Malaysia di Melaka dan Negeri Sembilan di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak.

Bagaimanapun kata Mohd Zubil, bagi perairan di Pantai Timur terancam dengan aktiviti pencerobohan bot
nelayan asing.

Jelasnya, bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga turut berhadapan
dengan ancaman penyeludupan kontraband, PATI, dadah serta barang-barang kawalan bersubsidi.

Menurutnya, di samping itu pihaknya juga sentiasa bersedia untuk mengerahkan aset-aset laut atau udara
bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (SAR).

Tahun lalu katanya lagi, Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2021 tahun lalu, Maritim Malaysia merekodkan 21
tangkapan membabitkan PATI, penyeludupan dadah, kontraband, ketum dan lain-lain dengan nilai rampasan
dianggarkan bernilai RM38.8 juta.

Untuk rekod sepanjang 8 April lalu Maritim Malaysia telah merekodkan 257 kes tangkapan melibatkan pelbagai
kesalahan termasuk penyeludupan dadah, kontraband, pencerobohan bot nelayan asing dan lain-lain dengan
nilai rampasan lebih RM49.2 juta.

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button