Sukan

Misbun yakin terus lahirkan seorang bintang

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yakin mampu melahirkan seorang lagi anak didik bergelar pemain nombor satu dunia, selepas memulakan tugas baharunya sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan, esok.

Bekas pemain negara itu merupakan individu yang bertanggungjawab melahirkan beberapa pemain terkemuka tempatan yang pernah menerajui ranking terbaik dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Roslin Hashim dan adiknya, Rashid.

Setelah dilantik sebagai ‘supremo’ program pembangunan negara, Misbun berkata tidak mustahil untuk beliau meneruskan cita-citanya melahirkan seorang lagi jaguh dunia daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam masa beberapa tahun akan datang.

“Saya dah ada (bimbing) tiga pemain pernah menjadi pemain nombor satu dunia, dan tidak salah kalau saya cari yang keempat. Itu cita-cita saya sampai bila-bila,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di ABM di sini, hari ini.

Misbun yang sebelum ini merupakan ketua jurulatih perseorangan lelaki, diberikan kontrak selama dua tahun bermula esok untuk membimbing 66 pemain remaja dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berusia 13 hingga 17 tahun yang dipindahkan ke ABM sejak Januari lepas.

Selain menekankan tahap prestasi, teknik dan sains sukan, beliau berkata aspek disiplin turut menjadi keutamaan kerana pemain remaja sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa masalah disiplin.

“Apabila menerima tawaran jawatan ini, saya mempunyai hala tuju, terutamanya selepas melihat pemain-pemain gagal menyerlah pada 2019 bermula dengan Kejohanan Remaja Dunia. Jadi bagi saya, ia satu iktibar bahawa mungkin ini masanya untuk saya bantu daripada program remaja ini,” katanya.

Misbun berkata beliau memerlukan masa satu hingga dua bulan untuk memantau pemain, modul, teknik jurulatih dan struktur pembangunan remaja secara keseluruhan sebelum mewujudkan struktur baharu supaya mempunyai landasan yang baik sebelum menyerap pemain berkenaan ke dalam pasukan senior dan pelapis.

“Sudah pasti saya akan cuba bergabung dengan jurulatih di peringkat remaja supaya dapat pertingkatkan prestasi. Apabila saya mula bertugas, fokus saya ke arah Indeks Prestasi Utama BAM iaitu Kejohanan Remaja Asia, Dunia dan pertandingan 15 tahun ke bawah,” katanya.

Sementara itu, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Misbun diberi mandat untuk membentuk struktur baharu kejurulatihan di peringkat remaja, selain mengenal pasti kekurangan dalam sistem badminton negara apabila Malaysia yang berjaya melahirkan beberapa juara dunia remaja, tidak mampu mengulangi pencapaian itu pada peringkat senior.

“Dalam struktur sebelum ini, kita ada ‘delineation’ dengan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan, tetapi sekarang semuanya di bawah satu bumbung dan kita bentuk keadaan kita sendiri. Pemain junior kini akan menyertai lebih banyak kejohanan, kira-kira 10 ke 12 kejohanan berdasarkan prestasi mereka.

“Apa sahaja yang diberikan kepada pemain senior seperti pendedahan, kejohanan dan sains sukan, akan juga diberi kepada junior. Dahulu, terdapat perbezaan layanan kerana fokus utama adalah pendidikan,” katanya.

Mohamad Norza berkata selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa untuk memberikan tumpuan utama kepada badminton, pemain remaja berkenaan akan menjalani waktu pembelajaran selama 18 jam seminggu di bawah bimbingan Sekolah Antarabangsa Regent.

Barisan pemain itu hanya mempelajari lima subjek dan akan menduduki peperiksaan ‘International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE), selaras dengan visi BAM untuk melahirkan pemain yang seimbang dari segi kualiti permainan berserta dengan tahap intelektual tinggi untuk menjadi pemain berkelas dunia, katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dilantik sebagai pengurus pasukan Malaysia ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Manila, Filipina dari 11 hingga 16 Feb ini.

— BERNAMA

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button