Nasional

MIROS buat kajian sebelum wajib motosikal pasang ABS

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 24 Mei – Semua motosikal model baharu 150cc ke atas akan diwajibkan memasang sistem brek anti kunci
atau Anti-lock Braking System (ABS) tidak lama lagi kata, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka
Siong.

Menurutnya, pemasangan ABS tersebut dijangka dapat mengurangkan sebanyak 30 peratus kemalangan maut yang
melibatkan penunggang motosikal yang meningkat saban tahun.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih di peringkat kajian terperinci oleh Institut Penyelidikan
Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk tempoh enam bulan sebelum mewajibkan penggunaan ABS tersebut.

Beliau berkata, kajian oleh MIROS selama enam bulan itu juga turut melibatkan pemegang taruh industri
pembuat motosikal di negara ini termasuk wakil pengguna.

“Kita memerlukan tempoh dua tahun sebelum mewajibkan semua jenis motosikal 150cc ke atas memasang ABS.
Kajian terperinci terpaksa dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dimuktamadkan.

“Kalau pengilang ada masalah, mereka boleh gunakan tempoh yang diberikan untuk melakukan (pemasangan ABS)
dan kita akan lihat keberkesanan ini apabila dipasang pada penunggang motosikal lebih 150cc.

“Kemalangan maut di atas jalan raya adalah sebanyak 6,000 setahun manakala bagi tahun 2020 purata
kemalangan maut merekodkan sebanyak 4,658 dan kurang 100 kes pada tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Makmal MIROS PC3
di Akademi Pengangkutan Jalan, Tiang Dua, Ayer Molek dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Prof Dr. Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah MIROS, Datuk
Khairil Anwar Abu Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam,
Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, faktor utama kemalangan dalam kalangan penunggang disebabkan kegagalan
mengelak ketika pelanggaran atau terbabas.

Sehubungan itu katanya, pemasangan ABS dilihat dapat membantu menghalang motosikal daripada penunggangnya
mendapat kecederaan parah terutama di bahagian kepala jika berlaku kemalangan.

 

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button