Hiburan

Miri Gegar dengan Konsert MeleTOP TVS Pertama di Luar Lembah Klang!

DENGAN tema “Nang Champiyen, Nang Legend”, bandar Miri disinari malam penuh gemerlapan apabila Konsert MeleTOP TVS menggamatkan Stadium Tertutup Miri dengan ribuan peminat dan bintang terkenal Malaysia termasuk Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla dan ramai lagi.

Lebih istimewa, ini merupakan kali pertama konsert mega MeleTOP diadakan di luar Lembah Klang, dengan Miri dipilih sebagai lokasi sulung!

Dibawakan oleh dua gergasi hiburan negara, Astro dan TVS, konsert selama dua jam ini disiarkan secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Acara dimulakan dengan persembahan budaya dan muzik indah gabungan Sada Borneo dan Dion Das, diikuti persembahan bertenaga daripada Mimifly dan Stacy yang memukau pentas dengan lagu-lagu seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”.

Bintang muda yang sedang meningkat naik, Wani Kayrie bersama Noki turut memikat hati penonton menerusi lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, menyemarakkan semangat kebanggaan Borneo di bumi sendiri.

Antara kemuncak utama malam itu ialah penyampaian “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” kepada penyanyi kesayangan Sarawak, Dayang Nurfaizah. Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi TVS kepada anak jati Sarawak yang mengharumkan nama negeri dan Borneo di persada muzik nasional.

Dayang meneruskan malam istimewanya dengan persembahan solo menyentuh hati menerusi lagu “Seandainya Masih Ada Cinta” dan menggamatkan stadium dengan duet penuh emosi lagu “Haram” bersama Hael Husaini — satu kolaborasi yang benar-benar meninggalkan kesan!

Turut membuat penampilan khas ialah Hairee Francis, Marsha Milan dan Nadeera — penyanyi bersuara emas yang kini mencipta nama selepas kejayaannya di AJL39.

Konsert diakhiri dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan Dolla yang berjaya mengajak seluruh penonton bangun dan menari bersama persembahan glamor dan dinamik mereka.

Mengemudi malam penuh keceriaan ini ialah hos-hos popular MeleTOP iaitu Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad, bersama hos TVS Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi yang memastikan setiap detik penuh dengan keterujaan.


Apa Seterusnya: Konsert Berkat Gawai-Kaamatan – 21 Mei 2025

Sambutan tidak terhenti di sini! Dengan momentum luar biasa ini, TVS bakal membawakan satu lagi konsert mega yang wajib ditonton — Konsert Berkat Gawai-Kaamatan!

Sempena dua perayaan budaya utama masyarakat Borneo, konsert ini akan berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7:30 malam, sekali lagi di Stadium Tertutup Miri. Diterajui oleh ratu rock Malaysia, Ella, barisan artis turut menampilkan Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan penampilan khas dari Marina Jara dari Kalimantan!

Tiket percuma konsert telah habis ditempah awal, namun peminat masih berpeluang mendapatkannya melalui laman web TVS (tvsarawak.my) atau terus di pintu masuk — selagi stok masih ada!

Orang ramai, khususnya penduduk Miri dan sekitarnya, dijemput hadir memeriahkan satu lagi malam penuh warna-warni budaya dan muzik!


Miri – Destinasi Strategik untuk Sambutan & Hiburan

Menurut En. Mohamad Sardon Zainal, “Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak, terletak berdekatan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Bersempena ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandar raya, ini adalah masa terbaik untuk menghimpunkan masyarakat dan budaya dalam skala besar.”


Konsert Percuma, Pengalaman Bertaraf Dunia

Dengan menggabungkan ikon muzik kebangsaan bersama bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak, konsert seperti ini bukan sekadar hiburan — ia membina jambatan budaya dan membuka peluang keemasan buat bakat-bakat baharu. Dengan akses percuma, acara ini turut menarik kehadiran pelancong dari Brunei dan Kalimantan untuk menikmati hiburan bertaraf tinggi di bumi Borneo.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button