Nasional

Mini KUD @ Pontian berjaya kumpul 100 usahawan luar bandar

SEJUMLAH 100 usahawan di bawah 6 agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB ‘turun padang’ bagi menyertai Mini Karnival Usahawan Desa (Mini KUD) bertempat di Stadium Mini Pontian bermula 3 hingga 5 Mac ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Mini KUD ini bakal menjadi platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh Kementerian dan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

“Mini KUD akan mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli,

Malah dengan adanya ruang seperti ini ia sekali gus dapat meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.”

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar: UKK@KPLB)

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Majlis Perasmian Mini KUD @ Pontian di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun serta Ketua Pengarah dan CEO agensi di bawah kementerian ini.

Tambah Mahdzir, penganjuran Mini KUD pada kali ini julung-julung kali bakal menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro selepas penganjuran Pertandingan Program RBC kali terakhir pada tahun 2017.

“RBC Bistro dilihat dapat mencipta peluang akses pasaran yang lebih luas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC.

RBC Bistro pada kali ini juga bakal mengumpulkan 6 usahawan RBC yang telah berjaya memenangi geran perniagaan antara RM300 ribu sehingga RM1.5 juta pada tahun 2012, 2013, 2014 dan 2015,” kata Mahdzir.

Mengulas lebih lanjut mengenai Mini KUD @ Pontian, Mahdzir turut memaklumkan majoriti usahawan luar bandar yang terlibat adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, produk kecantikan dan kesihatan, kraftangan serta produk pertanian.

“Terdapat juga 10 usahawan yang akan menjual masakan panas signature dish negeri Johor sepanjang program ini berlangsung antaranya akan menjual masakan Asam Pedas, Ayam Engkong dan Nasi Ambeng selain daripada penyertaan daripada usahawan Food Truck.

Jadi saya harap seluruh masyarakat terutamanya di sekitar Pontian tidak ketinggalan hadir ke Mini KUD ini,”

Selain jualan produk dan perkhidmatan, Mini KUD turut menampilkan beberapa aktviti menarik seperti Ceramah agama oleh Da’i Azam Al-Kankari, Fun Ride (Acara kayuhan berbasikal), Pertandingan Liga Sepakan Penalti, Pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan artis jemputan daripada Wany Hasrita, Ramlah Ram dan Ronnie Hussein serta Bell Ngasri selaku pengacara. – SM

(Visited 580 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button