Ekonomi

Minetech catat kenaikan 58 peratus dalam pendapatan 3Q kepada RM36 juta

Minetech Resources Berhad (Minetech), pakar kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen, hari ini mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak 58.6 peratus kepada RM36.3 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (“3Q FY2023”) berbanding perolehan sebanyak RM22.9 juta pada 3Q FY2022.

Bagi suku tahun yang dikaji, Syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM0.2 juta berbanding kerugian sebelum cukai (“LBT”) sebanyak RM3.1 juta dengan peningkatan tertinggi 166 peratus EBITDA berbanding 3Q FY2022.

Bahagian kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 41 peratus kepada RM22.0 juta pada 3Q FY2023 berbanding RM15.6 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Hasil bahagian produk bitumen meningkat 150 peratus kepada RM10.0 juta berbanding RM4.0 juta manakala bahagian perkhidmatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 60 peratus kepada RM3.2 juta berbanding RM2.0 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022 (“9M FY2023”), syarikat mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 45.3 peratus kepada RM87.3 juta berbanding RM60.1 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.

LBT susut dengan ketara sebanyak 76.2 peratus pada 9M FY2023 kepada RM2.9 juta berbanding RM12.2 juta pada 9M FY2022.

Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata: “Syarikat berada di landasan pertumbuhan yang betul kerana kami terus melihat kerugian kami mengecil pada sumbangan pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada bahagian kejuruteraan awam dan produk bitumen.

“Kami juga melihat pemulihan di bahagian perkhidmatan dan bahagian makanan dan minuman juga mula menyumbang.

 “Berikutan fokus strategik serampang dua mata pada 2020, Syarikat mempelbagaikan bidang yang boleh menyokong prestasi kewangan dan pada masa yang sama, mengubah dan merasionalisasikan perniagaan.

Usaha kami kini termasuk teknologi kewangan dan tenaga boleh diperbaharui, bidang yang mempunyai pertumbuhan jangka panjang dan yang boleh memberikan pendapatan berulang.

“Syarikat optimis amat berhati-hati untuk suku-suku akan datang memandangkan sektor pembinaan Malaysia berkembang 8.8 peratus pada 2022, dengan semua subsektor mencatatkan pertumbuhan mengikut data Jabatan Perangkaan.

“Terutamanya, terdapat pertumbuhan 20.8 peratus dalam subsektor kejuruteraan awam dalam 4Q manakala subsektor bangunan bukan kediaman berkembang 19.0 peratus dan subsektor aktiviti perdagangan khas berkembang 12.7 peratus .” – SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button