Nasional

Mindef kemuka tuntutan LAD RM180 juta kepada Boustead

KEMENTERIAN Pertahanan telah mengemukakan notis Tuntutan Liquidated and Ascertained Damages (LAD) berjumlah RM180 juta kepada Boustead Naval Shipyard (BNS)  berikutan kelewatan pembekalan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata notis itu dikeluarkan selepas kementerian menjalankan siasatan terhadap BNS berhubung isu tersebut.

“Pihak kementerian telah melaksanakan siasatan melalui semakan ke atas klausa kontrak berkaitan isu kelewatan yang dialami dalam perolehan LCS ini.

“Susulan itu, notis tuntutan telah dikeluarkan berjumlah RM180 juta, dan daripada jumlah itu sebanyak RM80.6 juta berjaya dipungut  pada Oktober 2020,’’ katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Pada 2014, kerajaan menganugerahkan kontrak pembinaan enam LCS  untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9.128 bilion kepada BNS, dan daripada jumlah itu sebanyak RM6 bilion telah dibayar kepada syarikat berkenaan.

Hingga kini BNS gagal menyerahkan LCS tersebut sekalipun perjanjian yang dimeterai pada Januari 2014 memperuntukkan LCS pertama diserahkan kepada kerajaan pada April 2019. – BERNAMA

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button