Nasional

UPSI akan anugerah ijazah kepada 6,067 graduan sempena konvokesyen ke-24

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mengadakan Majlis Istiadat Konvokesyen ke-24 pada 3 hingga 9 Disember ini di Dewan Tuanku Canselor , Kampus Sultan Azlan Shah.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pada kali ini UPSI akan menganugerahkan ijazah kepada 6,067 graduan termasuk lapan yang menerima secara anumerta.

Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Beliau berkata pada sesi pertama besok pagi, Canselor, Tuanku Zara Salim akan merasmikan majlis istiadat seterusnya menyampaikan anugerah ijazah kepada 586 graduan.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 123 graduan ijazah Doktor Falsafah, 191 Ijazah Sarjana dan 272 ijazah sarjana muda dan bakinya pada sesi kedua hingga kesembilan.

Pada sesi pertama juga, Baginda akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris yang bergiat aktif dalam bidang STEM(Science, Technology, Engineering, and Math).

Pemandangan pintu utama UPSI.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI,
pernah menjadi editor jurnal bertaraf antarabangsa serta berjaya menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian dan bersama rakan penyelidik bagi memantapkan ilmu.

Pelakon dan artis Arja Lee yang mengikuti pengajian Di bawah Fakulti Muzik Dan Seni Persembahan ( FMSP) akan menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan dengan tesis berjudul “Mari Bermain Congkak: Suatu Aktiviti Didik Hibur Di Arja Art Academy”.

“Saya berharap semua keluarga yang membawa graduan berhati-hati memandu dan semoga tiba di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City dengan selamat,”katanya.

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button