Auto Travel

Mildef Tampilkan Kenderaan Berperisai Dengan Nama Rentaka!

Diilhamkan dari nama meriam Melayu lama, Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) menghasilkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) diberi nama Rentaka.

Kenderaan seberat hampir 9 tan bagi muatan penuh itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan kepakaran anak tempatan.

Rentaka adalah kenderaan HMAV 4×4 kedua negara selepas Tarantula yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Menteri Kanan (Keselamatan) pada tahun lalu.

Ia berupaya untuk digunakan pihak keselamatan khususnya ketika rusuhan selain mampu berperanan sebagai kenderaan penting ketika kecemasan.

Ketua Perolehan Mildef Mohd Ruhaizzat Mohd Din berkata, kenderaan itu dihasilkan dengan kos RM3 juta dan menggunakan teknologi serta kepakaran buatan tempatan.

Katanya, terdapat beberapa teknologi luar yang digunakan termasuk sistem pengawasan luar negara yang penting untuk melindungi anggota dan individu di dalam kenderaan itu.

“Rentaka berpotensi untuk dijadikan sebagai kenderaan penting agensi penguatkuasaan negara kerana kemampuan dan saiznya yang bersesuaian.

“Jika dibandingkan dengan Tarantula, Rentaka bersaiz lebih kecil. Namun dari segi muatan, ia mampu menampung sehingga 10 penumpang.

“Malah, kita juga sudah mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dilihat amat memerlukan kenderaan perisai sebegini dengan kepakaran tempatan setanding negara luar sekali gus memberi banyak kelebihan sekiranya ia digunakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, tadi,

Mohd Ruhaizat berkata, kenderaan berkuasa 6.7 liter V8 Turbo Diesel itu turut menjadi tumpuan beberapa wakil agensi keselamatan luar pada pameran berkenaan.

“Antara wakil negara yang menyatakan minat adalah Qatar dan Vietnam yang kini sudah menghantar pertanyaan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

“Kita menerima banyak pertanyaan dari pelbagai negara khususnya Qatar dan Vietnam yang berminat dengan kenderaan berperisai kedua negara.

“Bagaimanapun, masing-masing negara ini mempunyai keperluan berbeza terhadap kenderaan berperisai. Namun, kita bersedia untuk berbincang dan memenuhi apa yang diperlukan mereka,” katanya.

(Visited 608 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button