Nasional

Raja Muda Perlis ajak rakyat hayati erti merdeka

Seluruh rakyat diajak supaya bersama-sama hayati dan memahami maksud sebenar erti kemerdekaan yang kini mencecah 64 tahun.

Kisah kuasa-kuasa asing yang pernah berada di tanahair kita telah pun menjadi lipatan sejarah. Apa yang ada kini ialah sebuah negara yang berada dalam tangan kita sendiri. Persoalan kita ialah bagaimanakah untuk kita mewarnai negara ini dengan acuan dan identiti kita yang berupaya membawa kita berada di atas pentas kejayaan dalam kehidupan di dunia, dan juga kebaikan kehidupan selepas kita meninggalkan alam ini. Di sinilah makna doa yang selalu kita panjatkan memohon kebaikan di dunia dan di akhirat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media yang disiarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas baginda berkenan menyaksikan “Bual Bicara Merdeka” Sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-64” pada malam semalam.

Forum tersebut diadakan dalam talian anjuran MAIPs dengan kerjasama agensi-agensi agama Islam Negeri yang lain terdiri daripada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri.

Ia dikendalikan oleh Pengacara RTM Andy Reza Rohadian Khairul Anwar selaku moderator dan menampilkan barisan panel terdiri daripada Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Prof. Tan Sri Dr Nordin Kardi, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Prof. Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi & Kelestarian Sosial Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Hj Huzili Husin.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Makna kemerdekaan yang patut kita semua tumpukan ialah keupayaan memerdekakan atau membebaskan diri dari belenggu jiwa yang lemah, kemunduran fikiran, tidak berdaya saing,dan sikap yang negatif terhadap negara dan tanahair.

‘Dalam bahasa yang lebih jelas, jika kita berupaya membuang sikap sering bergantung pada orang lain, mencampakkan tabiat malas berusaha dan berfikir, menyahkan apa sahaja sikap dan tindakan yang merugikan diri, masyarakat dan negara, bererti kita telah berjaya hidup sebagai insan yang merdeka’, jelas Tuanku Raja Muda.

(Visited 388 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button