Ekonomi

MIDA lulus 1,053 projek bernilai RM61.7 bilion bagi tempoh Mac-Sept

LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan sebanyak 1,053 projek perkilangan dan perkhidmatan bagi tempoh Mac sehingga September, 2020 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM61.7 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak RM57.9 bilion adalah daripada sektor perkilangan dan RM3.8 bilion adalah daripada sektor perkhidmatan.

“Sebanyak RM44.0 bilion atau 71.3 peratus merupakan pelaburan baharu, manakala RM17.7 bilion atau 28.7 peratus disumbang melalui aktiviti pembesaran dan pempelbagaian.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, pelaburan langsung tempatan (DDI) menyumbang sebanyak 40.5 peratus atau RM25 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 59.5 peratus atau RM36.7 bilion,” katanya di dalam jawapan lisan di sesi Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang minta menyatakan berapa jumlah pelaburan baru masuk ke Malaysia sejak Mac 2020 dan berapa jumlah pelabur yang keluar atau menamatkan pelaburan ke Malaysia pada tempoh yang sama sehingga kini.

Mohamed Azmin berkata bagi tempoh yang sama terdapat 13 syarikat perkilangan menamatkan operasinya di Malaysia, antaranya adalah pelabur dari Amerika Syarikat, Perancis, Belgium, Singapura, Hong Kong dan Malaysia.

Penutupan syarikat-syarikat perkilangan itu susulan daripada pengurangan permintaan disebabkan persaingan yang sengit antara pengeluar dalam kalangan produk yang sama, peningkatan dalam kos operasi dan ketidaktentuan pasaran ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa memastikan dasar-dasar domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam meningkatkan kadar FDI dan DDI dengan memastikan Malaysia mempunyai ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif dan dinamik dalam jangka masa panjang serta melaksanakan beberapa inisiatif lain,” katanya.

Beliau berkata antara Inisiatif yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan pelaburan asing dan tempatan dalam sektor berteknologi tinggi, perkilangan, kreatif serta ekonomi baharu.

“Sehingga September 2020, kerajaan sedang menilai projek-projek pelaburan sebanyak RM54 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Selain itu, MITI menerusi MIDA melaksanakan sesi libat urus secara berterusan melalui pejabat MIDA luar negara dalam usaha untuk menarik projek pelaburan berprofil tinggi.

“Setakat ini, MIDA telah mengenal pasti projek dengan potensi pelaburan bernilai RM75.4 bilion daripada pelabur asing yang disasar bagi tahun 2020 dan 2021, antara negara yang disasarkan ialah Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, Korea Selatan, China, United Kingdom dan Taiwan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian telah menganjurkan dan mengambil bahagian dalam pelbagai program penggalakan pelaburan terutamanya yang dilakukan secara maya menerusi kerjasama bersama dewan perniagaan, institusi perbankan dan komuniti perniagaan antarabangsa.

“Kerajaan komited dalam usaha memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat penularanCOVID-19, sekaligus mengekalkan negara ini sebagai destinasi pilihan utama khususnya bagi projek pelaburan domestik dan asing yang berkualiti dan berimpak tinggi,” katanya. – BERNAMA

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button