Luar NegaraPenyakit

Penularan wabak hepatitis di pusat perlindungan Gaza

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan penularan wabak hepatitis dalam kalangan penduduk Palestin di pusat perlindungan Gaza.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dalam kenyataannya berkata, wabak hepatitis dilaporkan berlaku di pusat perlindungan yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Menurut kenyataan itu lagi, penduduk masih menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air minuman di Bandaraya Gaza dan di wilayah utara.

Ini kerana kebanyakan kemudahan pengeluaran air masih ditutup akibat kekurangan bahan api manakala sebahagiannya pula rosak.

Air yang digunakan oleh penduduk pada ketika ini diambil daripada telaga persendirian dan telaga UNRWA yang menimbulkan kebimbangan serius mengenai penyakit bawaan air akibat penggunaan air daripada sumber tidak selamat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menekankan keperluan segera untuk perlindungan, makanan, air bersih, tempat tinggal, sanitasi dan perubatan untuk orang awam di Gaza dengan memberi amaran kesesakan akibat pemindahan besar-besaran dan keadaan hidup yang tidak selamat meningkatkan risiko penyakit.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan berpangkalan di Gaza, Munir al-Bursh berkata, sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza lumpuh sepenuhnya akibat kekurangan serius sumber perubatan dan peralatan menyelamatkan nyawa.

Menurut beliau, sebanyak 26 hospital dan 55 pusat kesihatan di Semenanjung Gaza telah ditutup akibat serangan tentera Israel.

Seramai 15,207 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, sejak 7 Oktober lalu.

Bilangan mereka yang dilaporkan hilang telah meningkat kepada lebih 7,500 orang sama ada terperangkap di bawah runtuhan atau nasib mereka tidak diketahui manakala jumlah kecederaan mencecah 40,650 orang.

Pengarah Pegawai Media Kerajaan di Gaza, Ismael Al-Thawabteh pada sidang media berkata, Israel menyerang wilayah terkepung itu dengan kira-kira 100,000 bom dan roket sejak konflik bermula.

Beliau berkata, terdapat beberapa bom seberat 2,000 paun digugurkan untuk menyasarkan orang awam.

Al-Thawabteh juga mengecam dasar sekatan yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, menggesa kemasukan harian sebanyak 1,000 trak yang membawa bantuan dan bekalan selain 1 juta liter bahan api untuk menyelamatkan apa sahaja yang boleh diselamatkan daripada konflik itu.

Beliau menggesa kemasukan ratusan peralatan dan jentera untuk bantuan, pasukan tindak balas kecemasan dan pertahanan awam untuk mengeluarkan ratusan mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Penghantaran ini perlu untuk membersihkan sisa runtuhan akibat pengeboman dan kemusnahan ratusan ribu rumah, sekolah, hospital, jalan raya, dan kemudahan kritikal,” tegas Al-Thawabteh. – Petikan daripada Agensi Berita Xinhua – FMT – SM

BACA Tentera Israel dakwa mereka berjaya kepung Bandar Gaza

BACA Tentera zionis Israel sendiri bunuh lebih 60 tebusan di Gaza melalui serangan udara

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button