Politik

Orang Kedah sudah biasa tukar MB dan kerajaan

INI adalah kali kedua Datuk Seri Mukhriz Mahathir digulingkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.

Kali pertama ketika berada di dalam UMNO dan kali ini menyandang jawatan atas tiket parti Bersatu selepas Pakatan Harapan (PH) membuat kejutan pada pilihan raya lalu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun kerajaan PH hanya bertahan kira-kira 22 bulan, apabila berlaku pergolakan dalaman yang akhirnya menyaksikan kerajaan berkenaan runtuh dan terbentuk kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan iaitu gabungan Pas, UMNO, Bersatu dan komponen Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu juga satu demi satu negeri yang diperintah PH juga runtuh setelah para pemimpinnya berpaling tadah menyokong kerajaan masa kini dan terbaharu tentulah Kedah.

Apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN, maka terlerailah jawatan Mukhriz selaku menteri besar kerana tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Saya rasa Mukhriz tidak terlalu kecewa dengan perkembangan terkini kerana beliau seorang ahli politik yang sudah cukup matang kerana ia adalah sebahagian daripada sepak terajang dalam politik.

Saya tertawa di dalam hati apabila ada wartawan yang menulis menasihatkan Mukhriz supaya matang dalam berdepan dengan situasi ini.

Saya rasa wartawan bukanlah orang yang layak untuk menasihatkan Mukhriz, bukan kerana saya fanatik dengan anak kepada negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, tetapi yakin beliau memang sudah menjangkakan situasi ini dan ia adalah asam garam yang harus ditempuhi sebagai seorang ahli politik.

Politik seni kepada segala kemungkinan. Beberapa tahun sebelum ini ramai pemerhati politik tidak memberi peluang langsung kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, tetapi hari ini beliau adalah perdana menteri yang sangat dikasihi rakyat kerana menyelamatkan negara dari keserabutan dan kekusutan pemerintahan PH.

Balik kepada cerita orang Kedah, kami memang sudah biasa menukar kerajaan negeri dan menteri besar. Kerana bola sepak kalah dan merosot saja kami mendesak Tan Sri Sanusi Junid letak jawatan.

Walaupun itu bukan faktor utama, tetapi ia antara sebab pemimpin negeri di utara atau dikenali sebagai Jelapang Padi tidak digemari oleh rakyat apabila menjauhkan diri daripada bola sepak.

Mukhriz pula memang semua sudah sedia maklum beliau tidak dapat memberi hati jiwa dan raga sepenuhnya kepada Kedah menyebabkan kebanyakan rakyat negeri yang kecil ini tidak dapat merasa sentuhan beliau.

Beliau berusaha, tetapi ia tidak cukup. Orang Kedah majoriti adalah pesawah padi atau petani serta peladang. Dari cara mereka berkomunikasi sahaja memang mudah difahami mereka orang mudah mesra, tetapi tidak teragak-agak untuk menyatakan rasa yang terbuku di lubuk hati.

Sebenarnya cerita Muhkriz mahu disingkirkan memang telah berlegar bertahun-tahun lalu ketika PH masih memerintah lagi. Cuma tiada yang berani bertindak kerana sama ada menghormati Dr. Mahathir atau kerana takut kepada Dr. Mahathir.

Takut kerana percaturan politik Dr. Mahathir memang sukar dibaca oleh kawan dan lawan. Cakaplah apa jua Dr. Mahathir ialah pemimpin yang telah membuktikan bahawa beliau mencapai apa yang orang lain tidak boleh capai.

Menjadi perdana menteri paling lama iaitu 22 tahun dan perdana menteri paling singkat 22 bulan dan menjadi perdana menteri paling tua di dunia dan perdana menteri sebanyak dua kali dan mungkin juga tiga kali.

Baca juga analisis Pas di Kedah:

Semua juga sedia maklum ini adalah kali kedua Pas memerintah Kedah. Kerajaan Pas sebelum ini tumbang pada pilihan raya kerana kehadiran Mukhriz. Seperti hukum alam yang berbalik, Pas jugalah yang menggulingkan Mukhriz.

Bezanya kali ini Pas memerintah dengan gabungan UMNO dan Bersatu iaitu juga serpihan dari UMNO. Bermakna mereka tidak perlu berdepan dengan parti terbesar orang Melayu setelah kedua-dua parti menjalinkan kerjasama di bawah panji-panji Muafakat Nasional.

Muafakat ini adalah setakat ini yang terbaik kerana ia menyatukan kembali majoriti orang Melayu dan bumiputera demi menjaga kepentingan hak mereka yang mulai dijarah ketika PH memerintah di bawah tunggangan DAP.

UMNO atau keseluruhannya BN dahulu kalah kerana rakyat Kedah bosan dengan wajah-wajah ego dan sombong pemimpin parti itu yang hanya mengutamakan kroni.

Mereka kemudiannya memilih Pas yang bergabung dengan PKR, tetapi oleh kerana terlalu banyak berpolitik rakyat kecewa kerana ekonomi terbantut dan aktiviti orang muda dipandang sepi.

Oleh itu Pas dan UMNO serta Bersatu perlu bersedia untuk ditendang jika mereka juga mewarisi kesilapan lampau iaitu menjadi pemimpin yang `Hidung tinggi’ dan gagal memahami kehendak rakyat. – SM

 

(Visited 490 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button