Ekonomi

MGRC meterai MoU dengan Ajlan bagi teroka bidang farmaseutikal dan genomik

PETALING JAYA, 29 Ogost 2022 – Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang pengedaran produk dan perkhidmatan biofarmaseutikal dan genomik dengan Ajlan & Bros Medical Company (Ajlan).

Ajlan, yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi, adalah sebahagian daripada konglomerat multinasional yang ditubuhkan pada 1979 dengan pelaburan ekuiti persendirian global, hartanah dan perindustrian yang meluas.

MGRC yang merupakan pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka tempatan dalam kenyataannya berkata, sebagai sebahagian daripada MoU, kedua-dua pihak akan meneroka kemungkinan Ajlan menjadi wakil pemasaran dan pengedaran untuk MGRC bagi ujian saringan genetik, sel stem mesenchymal dan produk exosome.

“Sementara Ajlan akan mengenal pasti peluang penyelidikan dan pembangunan komersial (R&D) untuk penjujukan dan analisis genom di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) bagi bidang seperti pertanian, akuakultur, perladangan, penjagaan kesihatan dan bioteknologi perindustrian,” kata Pengarah Eksekutif MGRC Noor Azri Noor Azerai di sini hari ini.

Sementara itu, MGRC pula akan menganalisis sampel untuk ujian saringan genetik serta menyediakan Ajlan dengan kepakaran genomik dan bioinformatik untuk membida projek melalui Ajlan.

“Ini adalah peluang yang sangat baik untuk kami meneroka pasaran MENA bagi produk dan perkhidmatan kami, terutamanya dalam bidang R&D di mana kami melihat banyak pertumbuhan terutamanya dalam pertanian dan akuakultur akibat kesan perubahan iklim dan diagnosis kesihatan untuk kumpulan populasi yang berbeza.” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ajlan & Bros Holding Group H.E. Eng. Ali AlHazmi, berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Malaysian Genomics untuk membawa perkhidmatan dan produk biofarmaseutikal dan genetiknya ke Arab Saudi, yang merupakan landasan pelancaran yang baik ke rantau MENA.

“MoU ini hanyalah permulaan kerana kami meneroka bagaimana kami boleh bekerjasama rapat dalam beberapa bulan akan datang.” katanya.

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button