fbpx
Politik

Mesyuarat pun tak wujud, macam-mana nak U-turn

Sebuah portal melaporkan Ahmad Zahid membuat U-turn menyokong PN selepas dimarahi dalam mesyuarat

DAKWAAN sebuah portal berita kononya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan-U untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional selepas bermesyuarat selama empat jam semalam adalah tidak benar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak ada sebarang mesyuarat diadakan sebelum Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan untuk mendokong Kerajaan Perikatan Nasional seterusnya melakukan gencatan politik semalam.

“Mesyuarat 4 jam U-turn? Laporan tersebut jelas tidak benar malah tidak ujud pun mesyuarat selama itu.

“Pertimbangan Presiden UMNO mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan merupakan keputusan beliau sendiri. Presiden dan UMNO memahami keutamaan adalah rakyat, apalagi bila melibatkan nyawa dan kesihatan,” kata Annuar.

Annuar mengulas laporan berita sebuah portal bertajuk “Kemarahan, ketegangan dalam mesyuarat 4 jam Umno paksa Zahid buat ‘pusingan U'”


Portal itu mendakwa kononnya Ahmad Zahid melakukan pusingan-U disebabkan tentangan hebat daripada pemimpin UMNO yang berkumpul di ibu pejabat parti itu bagi membincangkan surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Portal itu melaporkan, pengerusi perhubungan UUMNO negeri marah disebabkan pemimpin tertinggi parti secara sepihak menyokong rancangan Anwar untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Zahid yang menyedari wujud gerakan menggulingkannya bertindak mengeluarkan kenyataan untuk meredakan kemarahan itu,” kata salah seorang individu yang menghadiri mesyuarat itu kepada MalaysiaNow.

Semalam Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan untuk melakukan gencatan politik dan meminta menteri UMNO dalam Kabinet PN memberi fokus kepada rakyat dan memperteguhkan kerajaan PN.

Sementara itu Annuar berkata, mengganggu kestabilan politik dan ketenteraman negara adalah perkara yang paling mudah untuk dilakukan.

Katanya, menukar perdana menteri tidak menghapuskan virus Covid-19. Malah pilihan raya juga tidak akan menyelamatkan rakyat sebaliknya boleh memporak-perandakan lagi keadaan.

“Situasi kita ini luar biasa. Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan menggubal preskripsi kita sendiri.

“Kerajaan perlukan kestabilan. Kerajaan juga perlukan masa. Bajet perlu ada untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat. Ia tidak boleh tidak.

“Sebenarnya kita sudah berada dalam darurat politik, darurat kesihatan,darurat ekonomi dan lain-lain. Apa ikhtiar kita untuk menyelamat ini semua?” tanya Annuar.

Justeru katanya, tindakan Ahmad Zahid untuk membuat gencatan politik adalah tepat. Tegas beliau, rakyat dan negara perlu didahulukan bukannya politik.

“Malah kerajaan juga harus berani mencari ikhtiar secara bukan konvensional tetapi sebaliknya berfikir secara norma baru dan di luar kotak.

“Dahulukan rakyat,selamatkan negara!” tegas Annuar.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button