NegeriTravel

View Point Wang Kelian: Caj untuk penggambaran komersial sahaja

VIRAL di media sosial berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Perlis apabila menggenakan caj baharu di View Point Wang Kelian sejak semalam.

Dalam kenyataan itu, bayaran akan dikenakan bagi yang membawa peralatan seperti kamera dan video yang khusus untuk penggambaran komersial.

Arahan caj baharu yang dikenakan di View Point Wang Kelian oleh Jabatan Perhutanan Perlis.

Bagi penggunaan Kamera dikenakan RM15 bagi warganegara dan RM20 untuk rakyat asing, Perakam Video pula RM15 untuk warganegara dan RM20 bagi rakyat asing, Filem Dokumentari RM500 bagi warganegara dan RM1,000 bagi rakyat asing manakala Fotografi pula RM200 bagi warganegara dan RM400 rakyat asing.

Isu ini hangat diperkatakan di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang awam seolah-olah kerajaan negeri ghairah untuk mengaut keuntungan.

Berikutan itu Pengarah Perhutanan, Ag Shaffie Ag Ahmadni menjelaskan arahan itu termaktub untuk pengambaran komersial sahaja termasuk penggunaan kamera Refleksi Lensa Tunggal Digital (DSLR).

Beliau berkata, penggunaan kamera dan perakam video bagi tujuan seperti hobi dan untuk dimuat turun di media sosial tidak akan dikenakan sebarang caj.

“Caj penggambaran ini termaktub dalam Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Perlis (Pindaan) 2019 dan telah dikuatkuasa pada tahun 2020 lagi di beberapa lokasi ekopelancongan perhutanan yang terpilih seperti di Rimba Herba Perlis, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam dan Taman Negeri Perlis,” katanya.

Katanya, caj di View Point Wang Kelian mula dikuatkuasakan pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, pengenaan caj ini dalam sektor pelancongan perhutanan merupakan sumber pendapatan baharu bagi setiap kerajaan negeri kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada penggunaan sumber semulajadi daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Ag Shaffie berkata, kutipan hasil daripada aktiviti ekopelancongan di View Point Wang Kelian adalah sebanyak RM574,000 pada tahun lalu.

Katanya, kutipan ini merupakan hasil kepada Perlis dan akan digunakan semula untuk aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan kawasan ekopelancongan di bawah Jabatan Perhutanan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menambahbaik fasiliti ekopelancongan di negeri Perlis.

Tambahnya, View Point Wang Kelian akan dinaik taraf mulai tahun ini secara berfasa melibatkan keperluan ruang parkir, ruang perniagaan, tandas awam, pelantar pemerhati, laluan pejalan kaki dan banyak lagi untuk keselesaan pengunjung. – SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button