fbpx
Nasional

Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu bukti penting Institusi Diraja

BERDASARKAN kepada masalah kemelut politik yang berlaku ketika ini akibat perebutan kuasa, krisis kesihatan pandemik Koronavirus (Covid-19) tidak ditangani dengan baik.

Keadaan tersebut menyebabkan kebajikan rakyat terabai sehingga memaksa beberapa cadangan seperti pelaksanaan Perintah Darurat dicadangankan.

Justeru, Institusi Raja-Raja Melayu dilihat penting pada ketika ini bagi menyemak dan mengimbangi keputusan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Justeru, beberapa cadangan yang dimaklumkan oleh ahli politik yang mentadbir perlu dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu bagi memastikan kebajikan rakyat dan kestabilan negara.

“Situasi sekarang adalah petunjuk jelas yang menunjukkan apa yang akan berlaku bila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang-orang politik sahaja.


“Di dalam situasi hari ini apa yang paling penting adalah kebajikan rakyat harus sentiasa diutamakan dan pemulihan ekonomi dapat terus bergerak dengan lancar.

“Inilah pentingnya sistem beraja dimana Raja-Raja Melayu berfungsi memberi kelebihan ‘check & balance’ dalam pentadbiran negara.”

Demikian titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya hari ini.

Baginda berkata demikian mengulas persidangan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dihadiri lapan ahlinya kecuali Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang tidak kelihatan hadir.

Terdahulu, ayahanda Tunku Ismail, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang pertama sampai di Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul 1.30 petang.

Baginda hadir bagi bertemu Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu yang lain bagi membincangkan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebelum itu menghadap As Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz di Pekan Pahang bagi mempersembahkan cadangan-cadangan untuk menangani wabak Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Istana Negara dalam satu kenyataan semalam mengesahkan pertemuan tersebut, namun tidak memerperincikan cadangan yang dipersembahkan.

Bagaimanapun, ramai pihak yakin antara cadangan tersebut adalah pelaksanaan Perintah Darurat yang memerlukan perkara itu dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja Melayu.

Ia penting sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Agong menggunakan kuasa baginda seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Tunku Ismail mendoakan supaya keputusan paling bijaksana dapat dicapai demi menjaga kestabilan negara.

“Semoga Allah memberkati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk menjaga kestabilan negara dan melindungi negara daripada ancaman orang-orang yang tamak dan menggilakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Doa dan harapan saya adalah Kestabilan. Semoga Allah sentiasa memberkati Raja-Raja Melayu,” luahnya. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button