Auto TravelBerita Auto

Kemudahan VOA dan pengecualian visa 30 hari bakal menarik lebih ramai pelancong dari China dan India

BILANGAN pelancong China dan India ke Malaysia diyakini meningkat pada 2024 susulan keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari dua negara berkenaan mulai 1 Disember lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Melihat ia petanda baik bagi kebanyakan industri dalam negara seperti bidang perhotelan dan logistik, Tiong berkata pemain industri pelancongan telah dimaklumkan untuk bersiap-sedia menerima angka pelancong tinggi yang secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita harap dengan pengecualian visa ini, kita tambah beberapa juta orang (pelancong asing) lagi. Kita cuba sedaya upaya macam mana kita boleh tingkatkan dari segi promosi di negara masing-masing (China dan India) untuk tingkatkan bilangan pelancong,” katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing

Tiong berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat permulaan penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 baru-baru ini.

Sebelum ini Tiong menegaskan bahawa MOTAC akan terus berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluaskan skop kemudahan Visa On Arrival (VOA).

Matlamatnya adalah untuk membolehkan pelancong yang tidak menggunakan penerbangan sewa khas juga dapat menikmati kemudahan VOA, supaya proses kemasukan pelancong antarabangsa lebih lancar.

Tiong juga berharap pihak KDN boleh mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kemudahan pada bulan Januari tahun depan.

MOTAC juga berharap lebih ramai pelancong serta pelabur dari China dan India datang ke Malaysia, seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi manfaat kepada rakyat.

Syarat-syarat baharu kemudahan VOA telah berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2023 lalu. Dalam fasa permulaan, ia hanya melibatkan penerbangan sewa khas (charted flight), dan prosedur permohonan telah dipermudahkan. Pelancong boleh menghantar maklumat peribadi mereka melalui sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum tiba di Malaysia untuk mendapatkan kemudahan VOA ini.

Data Jabatan Imigresen dari 1 Jan hingga 15 Nov lepas mencatatkan 26 juta kemasukan warga asing ke Malaysia, dengan 1.47 juta pelancong adalah dari China manakala 780,532 merupakan pelancong India.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Nov lepas membuat pengumuman berhubung pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada 2024.

Ketika ini negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa berkenaan. – SM

Artikel berkaitan > MOTAC semak semula semua syarikat agensi pelancongan

 

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button