fbpx
Berita

MESTECC sasar 300MW permeteran tenaga bersih tahun ini – Yeo Bee Yin

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyasarkan kelulusan kuota 300MW untuk program pemeteran tenaga bersih (NEM) tahun ini.

Menterinya Yeo Bee Yin berkata Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah meluluskan 102MW NEM tahun lepas dan sasaran itu mampu dicapai dengan pembaharuan dasar NEM yang mula dilaksanakan pada 2019.

“Bermula Januari 2019, kita guna asas satu-atas-satu iaitu jika kita beli tenaga elektrik 50 sen, kita jual 50 sen. Ini menjadikan pelaburan projek NEM berbaloi dan kadar penyertaan tinggi iaitu 102MW tahun lepas.

“Angka ini adalah kira-kira 3.7 kali ganda pencapaian keseluruhan tiga tahun sebelumnya (2016, 2017 dan 2018) iaitu 27.8 MW,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek Sistem Solar PV Atas Bumbung oleh Xinyi Group di Lipat Kajang di Jasin hari ini.

Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew; Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Dr Sanjayan Velautham; dan Pengarah Urusan Xinyi Malaysia Datuk Liu Xiao Rong.


Sistem solar PV merupakan inisiatif MESTECC bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia, dengan tenaga yang dihasilkan daripada pemasangan sistem solar PV, digunakan terlebih dahulu dan tenaga berlebihan boleh dijual kepada TNB.

Yeo berkata projek Sistem Solar PV Atas Bumbung oleh Xinyi Group itu, yang merupakan projek terbesar NEM di negara ini, mampu menghasilkan 31MW apabila siap sepenuhnya, dan melibatkan pelaburan RM60 juta.

Beliau bagaimanapun berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaaan tenaga boleh baharu di Malaysia memandangkan sasaran 300MW pada masa ini dilihat agak kecil berbanding permintaan 18GW tenaga elektrik harian pengguna di negara ini.

“Grid elektrik mampu bekalkan 24GW, oleh itu kita mampu tampung permintaan. Namun jika kita lihat potensi tenaga solar dari sudut teknikal, kita ada kira-kira empat juta bangunan boleh dipasang panel solar dan mampu menghasilkan 37GW. Ini boleh dicapai menerusi kesedaran terhadap teknologi hijau,” katanya.

Sementara itu, Liu dalam ucapannya berkata Sistem Solar PV Atas Bumbung akan menyediakan penjimatan sebanyak RM15.9 juta setahun untuk syarikat dari segi kos elektrik dan mengurangkan 39,649 tan pelepasan karbon setiap tahun.

“Kami telah menyelesaikan fasa satu projek ini yang melibatkan 12MW dan fasa dua 7MW, Kami sedang membangunkan fasa ketiga projek itu yang melibatkan 12MW,” katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button