Bola SepakSukan

Messi bintang bola sepak bergelar billionaire

BINTANG Barcelona, Lionel Messi muncul sebagai pemain bola sepak kedua bergelar billionaire selepas dia menghuni kedudukan teratas dalam senarai Forbes untuk tahun 2020.

Menurut Forbes, pemain berusia 33 tahun itu telah mencatat pendapatan sebelum cukai sebanyak AS$1 billion (RM4.14 billion), mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo.

Berdasarkan laporan tersebut, pemain antarabangsa Argentina itu merupakan pemain yang menerima bayaran paling tinggi bagi tahun 2020.

Messi dikatakan telah mencatat pendapatan sebanyak 98 juta pound (RM521 juta) daripada gajinya dan juga bayaran iklan atau penajaan.

Selain ditaja oleh jenama sukan seperti Adidas dan Pepsi, pemenang Ballon d’Or itu juga mengeluarkan edisi terhad minuman beralkohol bir Budweiser.

Penyerang Juventus, Ronaldo pula berada di kedudukan kedua dalam senarai Forbes, setelah dia mencatat pendapatan sebanyak 91 juta pound (RM484 juta) pada tahun ini.

Bintang Brazil, Naymar yang bakal berdepan hukuman penggantungan tujuh perlawanan kerana memukul belakang kepala pertahanan Marseille, Alvaro Gonzalez, menghuni tempat ketiga.

Pemain sayap Paris Saint-Germain itu memiliki pendapatan sebanyak 75 juta pound (RM399 juta), manakala rakan sepasukannya, Kylian Mbappe berada di kedudukan keempat dengan perolehan sebanyak 33 juta pound (RM175 juta).

Bintang Liverpool, Mohamed Salah (29 juta pound/RM154 juta) berada di tangga kelima, terima kasih kepada penajaan daripada Adidas dan Vodafone Mesir.

Paul Pogba pula berada belakang Salah iaitu di tempat keenam (26.4 juta pound/RM140 juta), sementara rakan senegaranya, Antoine Griezmann menghuni kedudukan ketujuh setelah pemain Barcelona itu mencatat pendapatan sebanyak 25.6 juta pound (RM136 juta).

Pemain buangan Real Madrid, Gareth Bale, yang menjadi sasaran Manchester United, pula di tangga kelapan dengan pendapatan sebanyak 22.5 juta pound (RM119 juta), terima kasih kepada gajinya yang lumayan di Bernabeu.

Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski menghuni di kedudukan kesembilan dengan pendapatan sebanyak 21.7 juta pound (RM115 juta), manakala penjaga gol Red Devils, David De Gea melengkapkan senarai 10 pemain bola sepak paling kaya apabila mencatat perolehan sebanyak 21 juta pound (RM111 juta). – The Sun UK – SM

(Visited 571 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button