Politik

Najib kesal tidak namakan stadium Kazar Bijan

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran ke facebook berkata beliau kesal kerana tidak menamakan mana-mana stadium  di Malaysia Kazar Bijan.
“Kenapalah dulu semasa saya PM saya tak terfikir untuk namakan mana-mana stadium di Malaysia dengan nama Greek/Arab “Kazar Bijan”.
“Menyesal sekarang pulak,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Kazar Bijan ialah eja terbalik Najib Razak.
Hantaran sindiran itu dipercayai berikutan sebuah stadium mini di Kuala Nerang yang dinamakan sebagai Ffira Mikah merupakan nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor, yang dieja secara terbalik.

Kerajaan Kedah berpendapat tiada keperluan menamakan stadium mini di Kuala Nerang dengan Ffira Mikah kerana ia menyebabkan tanggapan negatif masyarakat.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dr Mohd Hayati Othman, bagaimanapun berkata pihaknya berpendapat isu berkenaan selesai selepas nama stadium mini berkenaan akan ditukar selepas ini.

“Sepatutnya kita tidak perlu letak nama sebegitu kerana ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat.

“Bagaimanapun saya anggap perkara ini selesai kerana difahamkan nama stadium itu akan ditukar selepas ini,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Isu kemudahan milik Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) itu menarik perhatian ramai selepas penjenamaan semulanya menjadikan ia dikenali sebagai Mini Stadium Ffira Mikah.

Hal itu kerana orang ramai berpendapat perkataan tersebut sebenarnya merupakan nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor, yang dieja secara terbalik.

Bagaimanapun Hakim Ariff hari ini dilaporkan berkata namanya tiada kaitan sebaliknya perkataan itu dipilih dalam mesyuarat pentadbiran pihak berkuasa tempatan terbabit.

Dia juga mendakwa Ffira adalah perkataan yang diambil dari bahasa Sepanyol atau Greek, manakala Mikah berasal dari bahasa Arab.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini secara dalam talian mendapati tiada bukti menyokong kenyataan tersebut.

Perkataan ffira tidak diiktiraf sebagai salah satu perkataan Sepanyol atau Greek, malah pengesanan automatik Google menunjukkan ia adalah bahasa Bulgaria dan membawa maksud “pembaziran”.

Mohd Hayati berkata kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai pemilihan nama stadium mini berkenaan kerana ia berada dalam bidang kuasa MDPT.

Katanya pihak berkuasa tempatan berkenaan sudah dinasihat agar memilih nama tokoh sejarah tempatan atau nama individu yang pernah berjasa dan sesuai bagi menggantikan nama Ffira Mikah.

(Visited 2,829 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button