Ekonomi

Mercedes-Benz 300 SLR ‘Uhlenhaut Coupe’ cipta rekod kereta termahal di dunia

SEBUAH kereta Mercedes-Benz vintaj yang juga model jarang ditemui dijual pada harga 135 juta euro (USD142 juta) dalam satu lelongan, sekaligus mencatat rekod sebagai kereta termahal di dunia.

Mercedes-Benz 300 SLR “Uhlenhaut Coupe” 1955 dijual kepada pengumpul persendirian dan merupakan satu daripada dua prototaip yang pernah dikeluarkan bahagian perlumbaan Mercedes-Benz, menurut kenyataan RM Sotheby’s, syarikat lelongan antarabangsa kereta klasik yang berpangkalan di Kanada.

Kereta itu dijual di Jerman pada 5 Mei lalu.

Diberi nama sempena pencipta dan ketua jurutera Rudolf Uhlenhaut, kenderaan itu sering dilihat sebagai “kereta paling cantik di dunia,” “antara permata hebat dalam sejarah permotoran” dan “satu contoh terbaik kejuruteraan dan reka bentuk automotif” oleh pakar serta peminat automotif di seluruh dunia.

Kenderaan itu berasaskan kereta W 196 R Grand Prix yang berjaya memenangi dua kejuaraan dunia menerusi Juan Manuel Fangio, pemandu kereta lumba legenda Argentina yang mendominasi perlumbaan Formula 1 serta memenangi Kejohanan Pemandu Dunia sebanyak lima kali pada 1950-an.

Mercedes-Benz 300 SLR dipertingkatkan enjinnya kepada 3.0 liter untuk perlumbaan kereta sport, dengan kelajuan 180 batu sejam (289.7km sejam), menjadikannya antara kereta terpantas pada zamannya.

Harga itu menjadikannya kereta paling berharga pernah dijual menerusi lelongan, memecah rekod Ferrari 250 GTO 1962 yang dijual pada harga USD48.4 juta pada 2018 menerusi lelongan RM Sotheby. – SM

 

(Visited 478 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button