Mahkamah

Menzalimi anjing: Mahkamah perintah ibu dua anak bayar denda RM30,000

SEORANG ibu dua orang diperintahkan membayar denda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini kerana menganiayai dua ekor anjing miliknya dengan tidak memberi makan dan merantai haiwan berkenaan.

Memetik laporan BERNAMA, perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh yang juga merupakan seorang kerani pentadbiran pada Mac tahun lepas.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Oh Ju Lian, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatannya itu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda dan dilucutkan hak penjagaan terhadap seekor anjingnya yang masih hidup.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak munasabah menyebabkan dua ekor anjing kepunyaannya berada dalam kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya.

Perbuatan itu dilakukannya di sebuah rumah di Paper Estate, Tanjong Bunga, pada pukul 3 petang, 4 Mac 2019.

Mengikut fakta kes, Ju Lian  telah membiarkan kedua-dua ekor anjingnya itu berada dalam keadaan terikat dengan rantai besi di pagar batu dengan salah seekor daripadanya telah mati.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu dalam rayuannya, Ju Lian sambil menangis memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan dia tidak mampu membayar denda tinggi kerana perlu menyara keluarga.

Ju Lian tidak diwakili peguam, turut menyatakan dia menyesal di atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button