fbpx
Nasional

Menumpaskan baki rakyat yang masih degil

SEJAK tiada lagi pendekatan berlembut atau kata-kata nasihat kepada rakyat yang masih ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pematuhan melonjak kepada 99 peratus setakat semalam.

Barangkali rakyat negara ini sudah mula memahami tujuan utama kerajaan melaksanakan PKP, iaitu untuk memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini. Hari pertama pelaksanaan PKP menyaksikan kadar pematuhannya sekadar 62 peratus.

Kerajaan mahukan pematuhan 100 peratus. Lantaran itu, PKP yang memasuki fasa kedua hari ke-18 pastinya akan menumpukan kepada usaha menumpaskan baki rakyat yang masih degil dan tidak ambil kisah akan penularan wabak COVID-19.

Ia cukup untuk melambangkan ketegasan kerajaan dalam menangani krisis COVID-19 kerana jika lebih lama tempoh PKP ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara tetapi juga kehidupan rakyat itu sendiri.

Walaupun tiada peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 direkodkan namun ia bukan lesen untuk kita berpesta mengingkarinya dan orang ramai seharusnya terus membantu kerajaan memerangi ‘virus jahat’ ini dengan duduk di rumah serta keluar apabila perlu sahaja.


Semestinya orang ramai, termasuk peniaga, mengharapkan agar bazar Ramadan diteruskan seperti tahun-tahun lepas namun disebabkan COVID-19, sebarang aktiviti yang menyaksikan ramai orang berkumpul tidak sesuai diadakan.

BACA

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perhimpunan ramai seperti bazar Ramadan perlu dielak walaupun tempoh PKP tamat. Malah katanya norma dan amalan kehidupan rakyat Malaysia juga perlu berubah dalam suatu tempoh tertentu.

“Contohnya tidak bersalam, membasuh tangan dan ada jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, perhimpunan contohnya enam bulan hingga setahun kita akan lihat tak galakkan langsung perhimpunan ramai,” katanya.

Setakat ini, enam negeri telah mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan yang dimulakan kerajaan Negeri Sembilan (26 Mac) diikuti Terengganu (30 Mac), Kedah dan Selangor (masing-masing 1 April), Johor (2 April) serta Pulau Pinang (3 April).

Selebihnya belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Mungkin sudah tiba masanya peniaga memikirkan idea pelaksanaan e-Bazar yang kreatif dan inovatif seperti makanan bazar Ramadan boleh dihantar ke rumah. Ini kerana perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah semasa fasa pertama PKP mencatat peningkatan sebanyak 70 peratus.

Selain itu, krisis COVID-19 yang nampaknya belum berkesudahan mendorong penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan ataupun pihak tertentu memanfaatkan teknologi baharu bagi menangani penularan wabak tersebut.

Sekumpulan pakar robotik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan lima unit robot bagi membantu petugas barisan hadapan menjalankan proses nyah kuman COVID-19 dan dijangka dapat digunakan tidak lama lagi.

Ketika ini, teknologi robotik sewajarnya diperluaskan kerana ia secara tidak langsung mampu mengurangkan risiko jangkitan silang dan meningkatkan kecekapan.

Jika Malaysia ingin dikenali dunia, kita perlu seiring mengejar teknologi kerana hospital di bandar Wuhan, China iaitu lokasi bermulanya wabak itu, telah pun menggunakan robot yang dilengkapi teknologi 5G untuk membimbing pesakit dan menyahjangkit kawasan kuarantin.

Hospital di Thailand turut menggunakan ‘robot ninja’ untuk menyukat suhu badan dan melindungi petugas kesihatan barisan hadapannya. – BERNAMA  

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button