Nasional

Menu Rahmah tak libat peruntukan Kerajaan – Salahuddin Ayub

PELAKSANAAN inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah sejak hujung bulan lepas tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia sebaliknya adalah komitmen sepenuhnya peniaga yang secara sukarela menyertainya.

Beliau berkata, sejak dilancarkan, Menu Rahmah mendapat sambutan baik di seluruh negara dengan ramai peniaga bersama-sama menyahut aspirasi kerajaan dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan B40.

“Ramai golongan peniaga berlumba-lumba menyertai inisiatif ini dengan menawarkan juadah serendah RM5 di premis mereka.

“Ini bermakna mereka mahu bersama-sama melakukannya dengan semangat kebajikan tanpa paksaan sesiapa.

“Jadi konsepnya di sini jelas, tiada libat satu sen pun duit kerajaan,” katanya seperti mana dilaporkan FMT.

Salahuddin berkata, kementeriannya tidak pernah memaksa mana-mana perniagaan, pengusaha dan pemain industri makanan baik besar mahupun kecil untuk melibatkan diri dalam penjualan Menu Rahmah.

“Kita tidak paksa, sebaliknya ia adalah satu libat urus dengan industri antaranya Mydin (Mydin Mohamed Holdings Berhad), Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia, Pertom dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia.

“Selepas sesi libat urus ini barulah kita kemukakan idea Menu Rahmah ini dengan sasaran pembeli ialah mereka yang memerlukan juadah harian pada harga mampu,” katanya.

Katanya lagi, kementeriannya sedang dalam proses membangunkan satu aplikasi yang mengandungi direktori premis makanan yang menawarkan sajian Menu Rahmah di seluruh negara.

Beliau berkata, ia bagi memastikan rakyat mempunyai maklumat terhadap peniaga yang menyertai inisiatif kerajaan itu di kawasan mereka selain pada masa sama mempromosikan premis yang menawarkan jualan Menu Rahmah.

Pada 31 Januari lalu, Salahuddin melancarkan inisiatif Menu Rahmah.

Sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. – SM

 

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button