Ekonomi

Rebat RM200 beli peti sejuk, penyaman udara cekap tenaga

Isi rumah yang membeli peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga pada tahun ini akan diberi e-rebat RM200 di bawah program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 2.0.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pemberian e-rebat dengan peruntukan RM30 juta itu diluluskan dalam Belanjawan 2021 dan dijangka memanfaatkan 150,000 isi rumah.

Menurut beliau pemberian e-rebat itu melibatkan pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang buatan tempatan atau yang dikilangkan dan mendapat persijilan SIRIM atau setara dengannya di Malaysia.

“Rebat ini terhad kepada satu akaun sahaja bagi setiap pembelian penyaman udara atau peti sejuk dalam tahun 2021 atau sehingga kuota habis, yang mana terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program SAVE 2.0, di Putrajaya, hari ini.

Shamsul Anuar berkata pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar dengan syarikat utiliti elektrik seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Bhd (SEB) dan NUR Power, layak memohon.

Pemohon boleh mendapatkan e-rebat melalui dua kaedah iaitu dengan membawa bil elektrik terkini untuk membuat pembelian secara fizikal di kedai elektrik atau pasar raya berdaftar di bawah Program SAVE 2.0 atau memohon e-rebat dengan membuat pembelian secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf, katanya.

“Bagi pembelian secara dalam talian, permohonan e-rebat melalui Shopee Malaysia telah dibuka mulai 1 Jan 2021 manakala e-rebat melalui pembelian secara fizikal boleh dinikmati bermula hari ini (7 Jan),” katanya.

Shamsul Anuar menyarankan pembeli supaya merujuk panduan senarai kelengkapan elektrik dan harga rujukan (RPP) melalui laman sesawang rasmi di www.saveenergy.gov.my sebelum membuat pembelian, serta membuat perbandingan harga bagi mendapatkan harga terbaik dan kos efektif.

Beliau berkata program SAVE 2.0 menggalakkan pengguna mengamalkan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik serta menyokong aspirasi kerajaan dalam proses pengalakkan insiatif penjimatan dan kecekapan tenaga, rendah karbon dan tenaga lestari.

“Kerajaan menyasarkan penjimatan tenaga yang bersamaan dengan RM22.26 juta serta pengurangan pelepasan karbon sebanyak 39,164 tan setiap tahun atau 56,430 bilangan anak pokok yang perlu ditanam selama 10 tahun untuk menyerap karbon tersebut,” katanya.– Bernama

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button