Politik

Menteri UMNO mana yang tidak menyerlah?

Tidak benar jika dikatakan kedudukan Perdana Menteri dan wakil-wakil UMNO dalam Kerajaan Persekutuan pada masa ini masih tidak cukup kuat.

Ini kerana enam kehendak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada awal pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri telah dipenuhi dan tentunya dengan persetujuan Jemaah Menteri (Kerajaan) juga.

Berikutan adalah enam panduan utama yang diberikan oleh MKT UMNO kepada Perdana Menteri hasil mesyuaratnya pada 27 Ogos 2021:

1. Menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

2. Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.


3. Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

4. Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), GPS dan PBS.

5. Kerajaan hendaklah mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang kepada kerajaan.

6. Penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

Perdana Menteri telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

Sejak Memorandum Persefahaman itu ditandatangani beberapa Akta dan Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di Parlimen dengan sokongan Pembangkang. Rakyat boleh merasai adanya kestabilan politik dan Kerajaan walaupun kadangkala di Dewan Rakyat suasananya macam sarkas.

Pelik pulak rasanya bila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan PH bersetuju menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan mempunyai muslihat tertentu untuk menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional.

Bukankah Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan PH itu bersesuaian dengan tujuan panduan pertama MKT UMNO kepada Perdana Menteri? Ia adalah manifestasi kehendak atau panduan utama MKT UMNO.

Kehendak UMNO supaya Kerajaan pimpinan Ismail Sabri meluluskan pengeluaran RM10,000 dari simpanan KWSP pun sudah dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan Keluarga Malaysia.

Kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pula, UMNO hanya ada 17% representasi dalam Parlimen; tidak cukup kuat atau tidak dominan.

Mungkin Mohamad tidak sedar walaupun UMNO ada hanya 17% wakil dalam Parlimen, UMNO ada 11 orang wakil atau 34 peratus representasi dalam Jemaah Menteri termasuk memegang jawatan Perdana Menteri. Ini dua kali ganda.

Mohamad dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung sayap-sayap UMNO juga berkata, “Sorry to say, dengan izin… prestasi kita dalam Kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan. Saya faham dan saya akui, ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. Betul. Tetapi hasilnya tidak menyerlah.”

Sejauh mana benarnya kenyataan Mohamad ini mengenai prestasi kerja Menteri-Menteri UMNO dalam Jemaah Menteri?

Dengan 17% representasi dalam Parlimen dan 34% dalam Jemaah Menteri pun UMNO sudah mampu membuat banyak perkara kepada rakyat, termasuk memenuhi tuntutan atau kehendak MKT UMNO sendiri.

Sehingga hari ini Mohamad belum menjawab pertanyaan balas Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mahdzir Khalid terhadap dakwaan yang dibuatnya ini, iaitu prestasi Menteri UMNO yang mana satukah belum memuaskan hati beliau.

Mohamad tentunya sedar dan faham bahawa ‘share’ UMNO dalam Kerajaan Persekutuan tidaklah besar, hanya 34%, dan UMNO tidak mendominasi Jemaah Menteri, tetapi dia mahu Perdana Menteri membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri mesti mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Jadi Ismail Sabri perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada 66% Ahli Jemaah Menteri yang lain.

Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menolak permohonan Perdana Menteri kerana pembubaran Parlimen adalah atas budi bicara Baginda. Ini peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pembubaran Parlimen bukan satu perkara yang mudah. Sebelum 2018 mungkin UMNO boleh berbuat begitu bila-bila masa sebab BN adalah Kerajaan Persekutuan tanpa berkongsi kuasa dengan gabungan parti-parti politik yang lain.

Hari ini BN berkongsi kuasa dengan PN, GPS, PBS dan Bebas untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang dijenamakan sebagai Kerajaan Keluarga Malaysia.

Pada Ahad lepas, wakil GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Kerja Raya dilaporkan berkata, “Fokus kita sekarang adalah memulihkan ekonomi dan kewangan negara… sehingga kita mengukuhkan keadaan negara, rakyat berada dalam keadaan lebih baik, krisis kesihatan (pandemik Covid-19) ini dapat dijaga, baru kita lihat kepada PRU.”

GPS menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang diadakan pada 18 Disember 2021. GPS telah menang 72 dari 86 kerusi DUN Sarawak yang dipertandingkan.

Bukan UMNO-BN sahaja yang menang besar di PRN Melaka dan PRN Johor. GPS malah menang lebih besar dalam PRN Sarawak namun pemimpin GPS nampak lebih cerdik bila mereka tidak menggesa supaya PRU 15 diadakan segera.

Azizi Safar adalah mantan Setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang.
(Dipetik daru Utusan Malaysia)

(Visited 289 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button