Politik

Zahid cadang gencatan politik, perkasa kerjasama politik dalam PN

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu kerjasama semua parti di dalam Perikatan Nasional diperkasakan.

Langkah itu perlu diambil bagi menjamin kestabilan politik dalam negara di saat Malaysia berhadapan dengan ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.

Dalam satu kenyataan ringkas, Ahmad Zahid turut mengarahkan semua kepimpinan UMNO yang berada di dalam Kabinet untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk membantu rakyat.

Tegasnya, Menteri UMNO yang berada dalam jemaah menteri juga perlu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat dampak ekonomi dan pandemik Covid-19.

Serentak itu beliau mencadangkan agar gencatan politik dilakukan oleh semua pihak.

“Ini bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau juga mahu UMNO terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional dalam memberi tumpuan terhadap isu rakyat.

Dengan kenyataan Zahid itu iklim politik yang tidak menentu antara UMNO dan Bersatu serta Pas dalam Kerajaan Perikatan Nasional menjadi reda, di tengah-tengah usaha pembangkang melalui Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengambil alih kerajaan.

Hubungan antara UMNO dan Bersatu kelihatan agak tegang ketika Pilihan Raya Negeri Sabah berlangsung baru-baru ini apabila masing-masing dilihat tidak sehaluan selepas menggunakan logo berasingan dalam PRN tersebut.

Ketegangan agak memuncak selepas berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Sabah sebaik sahaja PN memenangani PRN berkenaan.

Keadaan juga tidak menentu apabila minggu lepas Mesyuarat Biro Politik UMNO memutuskan meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

UMNO juga mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.
Bagaimanapun suasana tegang itu menjadi kendur minggu ini apabila pihak-pihak dalam Perikatan Nasional cuba mencari kata sepakat.
Terbaharu UMNO dan Pas telah memutuskan untuk mendaftar Muafakat Nasional sebagai sebuah pertubuhan yang turut dianggotai oleh Bersatu.-SM
(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button