Rencana

Mampukah kita keluar dari belenggu PKP?

APABILA kerajaan mengumumkan akan membuka kembali hampir kesemua sektor ekonomi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) respon rakyat berbelah bahagi.

Ramai yang mula rasa lega, tetapi sebahagian masih lagi dibelenggu kebimbangan kemungkinan letusan kedua jangkitan COVID-19, setelah masyarakat mula mengabaikan kawalan pergerakan dan penjarakan sosial.

Kebimbangan itu memang ada asasnya kerana data jelas menunjukkan jumlah kes baharu masih lagi tinggi dan masih lagi berlaku kematian akibat jangkitan wabak tersebut.

Dan selagi tiada vaksin ditemui, tiada jaminan virus maut itu dapat dihapuskan sepenuhnya.

United Kingdom dan negara-negara di Eropah sendiri masih lagi bertungkus-lumus untuk keluar dari lockdown atau perintah berkurung.

Apabila kelonggaran diberikan jumlah kes baharu terus meroket daripada biasa.

Jerman telah menyaksikan peningkatan tahap jangkitan koronavirus yang mengkhuatirkan setelah menjadi salah satu negara pertama di Eropah yang mulai meringankan langkah-langkah penguncian ketika benua itu kembali ke keadaan normal.

Jerman melaporkan 1,304 kes baru virus pada hari Rabu – meningkat dari 1,144 pada hari Selasa dan 1,018 pada hari Isnin – seminggu setelah perniagaan yang tidak penting diizinkan untuk dibuka semula.

Sementara itu, jumlah kematian di Sepanyol meningkat sebanyak 453 orang pada hari Rabu daripada 301 hari sebelumnya, walaupun ketika pemerintah menyatakan rancangan untuk membuka kembali pendandan rambut dan perniagaan kecil mulai bulan depan.

Data akan dipantau dengan teliti di tengah-tengah ketakutan akan gelombang kedua jangkitan dan kematian koronavirus di Eropah – yang sudah menjadi wilayah yang paling parah di dunia – sebagai pemimpin terpaksa mengakhiri penutupan dalam usaha menyelamatkan ekonomi mereka yang lemah sebelum vaksin tersedia.

Di Asia Barat situasinya juga tidak banyak berbeza jumlah kematian dan kes COVID-19 terus melonjak di beberapa negara Arab pada Jumaat, lapor agensi berita Anadolu.

Di Iraq, seorang maut menjadikan angka korban meningkat kepada 94 orang, menurut pegawai kesihatan. Jumlah kes pula meningkat 68 menjadikan keseluruhan sebanyak 2,153 sementara 1,414 lagi pesakit pulih.

Jumlah kes di Bahrain pula sebanyak 3,169 selepas 129 lagi disahkan positif, lapan orang maut dan 1,533 pesakit sembuh.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Mesir mengesahkan 14 kematian dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini 406 orang. Bilangan kes sebanyak 5,895 bertambah lagi 358.

Di Algeria kes jangkitan melonjak kepada 4,156 pertambahan seramai 148 lagi pesakit. Tujuh orang maut menjadikan jumlah yang terkorban seramai 453 manakala pesakit yang pulih 1,821.

Pegawai kesihatan Maghribi melaporkan satu lagi kematian dicatatkan menyaksikan korban setakat ini seramai 171 orang manakala jumlah kes  4,569 bertambah sebanyak 146 lagi.

Wabak COVID-19, mengancam 187 negara dan wilayah di seluruh dunia sejak virus itu muncul di Wuhan, China pada Disember lalu, dengan Amerika Syarikat dan Eropah paling teruk terjejas.

Di seluruh dunia lebih 3.3 juta kes dilaporkan, hampir 238,000 orang maut dan lebih sejuta pesakit sembuh, menurut data Johns Hopkins University.

Namun kerajaan tidak boleh terus mengunci aktiviti ekonomi kerana kerugian mencecah berbilion ringgit dan jika sesuatu tidak dilakukan segera negara bakal berdepan dengan krisis ekonomi yang kronik.

Laporan berita mengenai pembukaan semula ekonomi di seluruh dunia serta lengkungan rata jangkitan COVID-19 akan menjadi faktor utama minggu depan yang mendorong kenaikan ringgit.

Ini adalah di sebalik data ekonomi mengecewakan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Bernama melaporkan Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data kaji selidik seperti Indeks Pengurus Pembelian Amerika Syarikat (AS) mengalami kemerosotan ketika perniagaan semakin bimbang mengenai prospek masa depan mereka.

“Justeru, kerajaan AS terus menambahkan lagi langkah rangsangan untuk menyokong perniagaan kecil. Rizab Persekutuan AS (Fed) pula komited untuk bertindak lebih jauh bagi menyediakan mudah tunai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata langkah tersebut sebahagian besarnya dapat meredakan kebimbangan mengenai impak buruk ke atas ekonomi akibat pandemik itu.

Mohd Afzanizam berkata turun naik indeks juga agak kurang ketara iaitu daripada lebih 80 mata pada Mac kepada sekitar 33 mata.

Indeks itu bagaimanapun masih tinggi namun ia mencatatkan pergerakan yang boleh dianggap lebih baik dan hasilnya, mata wang tempatan meningkat berbanding beberapa mata wang lain pada Khamis, mencecah RM4.302 berbanding dolar US daripada RM4.345 pada Rabu.

Ringgit turut tinggi berbanding yen Jepun dan dolar Singapura.

Unit tempatan kemungkinan cuba untuk naik melepasi paras RM4.30 minggu depan, tetapi secara berselang-seli akan wujud beberapa pengambilan untung memandangkan angka ekonomi dijangka kekal lemah dalam jangka terdekat, katanya.

Pasaran ditutup pada Jumaat susulan cuti umum sempena Hari Pekerja.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya, menjejaki sentimen pasaran luar, iaitu keputusan Fed mengekalkan kadar faedah hampir sifar sehingga ekonomi pulih, diikuti kenaikan harga minyak mentah susulan pembukaan semula ekonomi.

Pada Khamis, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global melonjak 12.42 peratus kepada US$25.34 setong.

Berasaskan mingguan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding US dolar kepada 4.2950/2050 daripada 4.3600/3680 pada Jumaat lepas.

Unit tempatan juga tinggi berbanding dolar Singapura ke 3.0461/0543 daripada 3.0594/0657 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0253/0358 daripada 4.0494/0576.

Ringgit stabil berbanding pound Britain kepada 5.3675/3808 daripada 5.3741/3853 pada Jumaat minggu lepas dan naik berbanding euro kepada 4.6639/6765 daripada 4.6927/7030.

Hakikatnya ramai belum yakin untuk masuk ke pejabat minggu hadapan kerana bimbang dengan ancaman wabak yang belum dibendung sepenuhnya.

Bagaimanapun apabila keputusan telah dibuat oleh kerajaan dan majikan, mereka tidak mempunyai pilihan.

Oleh itu kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan, supaya  negara tidak diperangkap di dalam situasi yang rumit menyebabkan kita terpaksa bermula dari titik kosong kembali dalam perjuangan menentang COVID-19. – SM

 

 

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button