Politik

Ada individu lebih ‘power’ daripada TYT?

Isu calon Ketua Menteri Sabah baharu

ADA pihak yang mendakwa, nama calon yang bakal menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu disulami dengan ugutan.

Walaupun semua sudah tahu nama-nama calon yang dikemukakan kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Juhar Mahirudin namun salah satu daripada dua nama yang dikemukakan, tidak mendapat persetujuan daripada TYT.

Tun Juhar mahu dua nama calon Ketua Menteri datangnya dari Gabungan Rakyat Sabah (Barisan Nasional) dan Perikatan Nasional (PN).

Sudah tentulah dua nama utama menjadi sebutan iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Hajiji Noor. Dan terkini, nama Bung Moktar telah tercicir.

Maka tinggallah satu nama sahaja yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada esok pagi, jika segalanya berjalan lancar.

Senario di sebalik yang berlaku sebelum timbulnya unsur ugutan ialah begini: TYT dikatakan setuju dan memilih Bung Moktar sebagai Ketua Menteri.

Menurut sumber SUARA MERDEKA, namun berlaku ugutan dan tekanan yang datangnya dari seorang individu yang juga menjawat jawatan sebagai menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

Menurut sumber, individu berkenaan telah menggunakan kuasanya dan telah ‘mendesak keras’ TYT untuk menerima Hajiji sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Di sini, tidak timbul langsung nama Presiden Warisan Plus, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk terus mengekalkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

Jika benarlah seperti dimaklumkan oleh sumber kepada SUARA MERDEKA bahawa individu itu yang juga bergelar Datuk Seri,  ‘mendesak keras’ TYT untuk melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri dan seterusnya, akan membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baharu maka ‘powerful’ sungguh individu ini.

Terdengar juga desas-desus yang mengatakan, ADUN-ADUN dari PN didesak kuat untuk menerima Hajiji sebagai Ketua Menteri dan itulah gambaran yang bakal berlaku esok.

Berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan ADUN terhadap sikap individu yang ‘powerful’ ini sehingga dikatakan boleh melakukan ‘desakan keras’ terhadap TYT.

Sejak lepas Subuh ‘safie’ lagi, khabarnya kecoh juga keadaan di Magellan Club kerana pertikaian yang berlaku, diharapkan segalanya reda demi kesejahteraan rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu.

Sememangnya timbul persoalan, kenapakah hak TYT untuk memilih Ketua Menteri, boleh dihalang oleh individu berkenaan?

Apakah benar dakwaan itu kerana pastinya, percaturan bukan datang daripada seorang dua individu tetapi penentuan dan hak seorang TYT dalam melantik Ketua Menteri, urusan itu dicampuri oleh individu lain, maka hilanglah kuasa seorang yang bergelar TYT.

Seperkara lagi, rakyat Sabah, ahli-ahli politik di Sabah, parti-parti politik yang ditubuhkan di Sabah dengan jelas lagi lantang menyatakan, jangan ada campur tangan dari Semenanjung.

Rakyat Sabah katanya, mahu nasib mereka ditentukan oleh orang mereka sendiri. Dan siapalah invdividu ini jika benarlah, beliau ada campur tangan dalam menentukan kedudukan Ketua Menteri Sabah.

Keputusan rasmi akan diketahui esok pada majlis angkat sumpah Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri. – SM

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button