Berita

Menteri Kesihatan Ziarah Tan Sri Hadi Awang di IJN, Doakan Kesembuhan

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad hari ini menziarahi Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang kini sedang menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam lawatan tersebut, Menteri Kesihatan menzahirkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa prosedur rawatan yang dijalani oleh Tan Sri Abdul Hadi berjalan dengan lancar meskipun bersifat kompleks. Beliau turut menyampaikan doa agar Tan Sri segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pasukan pakar kardiologi dan surgeri kardiovaskular IJN yang bertungkus-lumus memberikan rawatan terbaik kepada Tan Sri Hadi,” ujar beliau.

Pasukan perubatan yang terlibat dalam rawatan tersebut diketuai oleh Prof Dato’ Seri Dr Jeswant Dillon dan Datuk Dr Kumara Gurupparan, serta dibantu oleh Prof Dato’ Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib (CEO Kumpulan IJN), Prof Dato’ Dr Suhaini Kadiman, Dato’ Dr Ghazali Ahmad, Dr Ismazizi Zaharudin, Dato’ Dr Amin Ariff Nuruddin dan Dr Tey Yee Sin.

Menurut makluman terkini, Tan Sri Abdul Hadi dijangka dibenarkan keluar dalam waktu terdekat, bergantung kepada perkembangan kesihatan beliau.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama mendoakan kesembuhan penuh buat tokoh ulama negara itu.

“Syafahullah wa Rabbuna Yusahhil. Insya-Allah, doa kita bersama untuk kesembuhan beliau,” kata beliau menutup kenyataan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button