Politik

Menteri BN nyata sokongan kepada Muhyiddin

Kesemua menteri kabinet dari Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan penuh bagi memastikan kerajaan dibentuk secara muafakat terus stabil dan sekali gus Belanjawan 2021 diluluskan.

Para menteri berkenaan dalam kenyataan bersama turut memberi komitmen untuk menguatkan BN di dalam kerajaan dan akan lebih kerap bertemu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan panduan.

Berikut kenyataan penuh:

1) Pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi kesan negatif kepada keadaan ekonomi rakyat dan negara. Justeru, negara memerlukan sebuah pentadbiran Kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun.

2) Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Ini juga adalah selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.


3) Anggota pentadbiran dari Barisan Nasional (yang merupakan Ahli Dewan Rakyat) mengambil maklum cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021. Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

4) Kami juga telah bersetuju agar Kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuklah dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

5) Untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, kami berpendapat Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas.

6) Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam Kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam Kerajaan.

7) Dalam hal ini, suatu mesyuarat yang telah diadakan bersama Pengerusi BN, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah memutuskan agar ahli Jemaah Menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Pengerusi BN bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri.

8) Berdasarkan perkara yang dinyatakan ini, kami percaya rakan-rakan Ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

____________________________ TAMAT____________________________

Kenyataan bersama oleh :

1. YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob – Menteri Kanan Pertahanan

2. YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong – Menteri Pengangkutan

3. YB Datuk Seri Saravanan a/l Murugan – Menteri Sumber Manusia

4. YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad – Menteri Pengajian Tinggi

5. YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa – Menteri Wilayah Persekutuan

6. YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican – Menteri Belia dan Sukan

7. YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah – Menteri Tenaga dan Sumber Asli 8. YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein – Menteri Luar Negeri

9. YB Khairy Jamaluddin – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

10. YB Datuk Halimah Mohamed Sadique – Menteri Perpaduan Negara

11. YB Datuk Seri Dr. Adham Baba – Menteri Kesihatan

12. YB Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Mohamed Said – Timb. Menteri Dalam Negeri I

13. YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad – Timb. Menteri Pembangunan Luar Bandar I

14. YB Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Abd. Muttalib – Timb. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

15. YB Mohd Shahar Abdullah – Timb. Menteri Kewangan II

16. YB Datin Mastura Mohd Yazid – Timb. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)

17. YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah – Timb. Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I

18. YB Datuk Zahidi Zainul Abidin – Timb. Menteri Komunikasi Dan Multimedia

19. YB Arthur Joseph Kurup – Timb. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

20. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng – Timb. Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi I

(Visited 129 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button