Mahkamah

18 penuntut UPNM bersalah dalam kes bunuh Zulfarhan

Seramai 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh arwah. Manakala 12 yang lain didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham.

Keputusan tersebut dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah hari ini.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.-SM
(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button