Nasional

Iktiraf UEC: Huazong setuju dengan Perdana Menteri

PERSEKUTUAN Persatuan Cina Malaysia (Huazong) menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti diselesaikan berpandukan dasar pendidikan kebangsaan.

Presiden Huazong, Datuk Seri Goh Tian Chuan berkata, semua pihak mesti mematuhi dasar dan syarat-syarat kebangsaan dalam menyelesaikan masalah berkaitan UEC.

“Seperti yang dikatakan oleh perdana menteri, kerajaan tidak mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf UEC,” katanya dalam satu kenyataan.

Tian Chuan membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Muhyiddin bahawa UEC perlu mematuhi dasar pendidikan kebangsaan jika mahu dipertimbangkan untuk diselesaikan isu pengiktirafan pada masa depan.

Tian Chuan juga menegaskan bahawa Huazong tidak menyebut kerajaan akan mengiktiraf UEC dalam kenyataannya baru-baru ini.

Pada masa sama beliau mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana menjelaskan perkara itu melalui kenyataan Pejabat Perdana Menteri .

Beliau berharap penjelasan Muhyiddin dapat menjernihkan kekeliruan yang tidak perlu dan dapat menghentikan kontroversi.

Muhyiddin pada Khamis 16 Julai lalu telah mengadakan pertemuan dengan Huazong di pejabatnya di Parlimen.

Rombongan persekutuan itu diketuai Tian Chuan, dan mereka mengadakan perbincangan bersama Muhyiddin berkaitan isu-isu negara termasuk yang membabitkan masyarakat Cina Malaysia.

Sementara itu Perdana Menteri dalam kenyataan pada 19 Julai menyatakan bahawa pertemuan dengan Huazong itu tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Kata Perdana Menteri, UEC telah mendapay pengiktirafam sebahagian apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepas UEC untuk mengikuti program ijazah sarjana muda perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Kerajaan katanya, pada 2012 telah menerima lepas UEC untuk mengikuti program itu dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian untuk bahasa Melayu.

Perdana Menteri juga menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaian oleh kerajaan pada masa depan. – SM

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button