Nasional

Malaysia tidak iktiraf Peta Standard China Edisi 2023

MALAYSIA tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan termasuk ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

Menurut Wisma Putra, Peta Standard China Edisi 2023 itu yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia.

“Malaysia kekal dengan pendirian dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baharu Malaysia 1979,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979, kata kenyataan yang sama.

“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

“Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia. Malaysia berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

“Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” jelas Wisma Putra.

Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea – DOC) secara menyeluruh dan efektif.

Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea – COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin. – SM

 

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button