Hiburan

Mengurat melalui Instagram, Usop selamat bertunang dengan pilihan hati

NAIB Juara Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020, Usop, 24, telah selamat bertunang dengan gadis pilihannya iaitu Nur Fatihah Md Hasihm, 25, yang berasal dari Sungai Dua, Pulau Pinang, hari ini.

Majlis pertunangan diadakan secara tertutup di Dewan Desa murni, Taman Desa Murni Sungai Dua, Pulau Pinang dihadiri oleh keluarga terdekat sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Usop atau dengan nama sebenarnya, Muhamad Saiful Naim B. Mohd Noor mengatakan bahawa dia mengenali tunangnya ketika berada di rumah sepupunya dan mulai memulakan hubungan mereka menerusi Instagram.

“Apa-apa pun, saya anggap jodoh tak salah alamat kerana tunang saya bukan jenis yang memandang rupa dan ketika berkenalan dengannya dulu saya bukanlah siapa-siapa.

“Nak pendekkan cerita, saya mengurat dia kat Instagram. Pada mulanya sukar juga tapi saya ni orang yang pantang mengalah dan setelah mencuba beberapa kali, akhirnya saya berjaya tambat hati dia,” katanya.

Usop turut berharap supaya peminat dan orang yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagian dirinya dan pernikahan mereka kelak akan dipermudahkan segala urusan.

Dalam pada itu, Fatihah atau lebih mesra dengan panggilan Teha mengatakan bahawa antara sebab dia menerima Usop sebagai bakal suami adalah kerana dia seorang yang ikhlas dan baik.

“Saya nampak ketulusan dan kesungguhannya untuk memikat hati saya. Selain itu, dia juga seorang yang sangat menghormati orang tua-tua.

“Walaupun dia masih muda, tetapi dia berani berjumpa dengan ibu bapa saya dan menyatakan hasratnya mahu betul-betul serius dengan saya,” ujarnya.

Majlis pertunangan itu menyaksikan hantaran tujuh dulang daripada pihak perempuan dan berbalas lima dulang daripada pihak lelaki.

Majlis itu dilakukan mengikut adat resam Melayu oleh kedua-dua belah pihak di mana Muhd Firdaus mewakili pihak perempuan manakala Mohd Noor mewakili pihak lelaki.

Mereka dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada awal Februari 2022. – SM

(Visited 284 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button