Politik

GERAKAN bukan parti kaum Cina-Dominic Lau

GERAKAN perlu mengikis persepsi bahawai ia adalah sebuah parti politik yang dimiliki atau didominasi oleh kaum Cina, kata Presidennya, Datuk Dominic Lau.

Beliau menjelaskan, Gerakan ialah sebuah parti politik non-ethnik kerana parti ini turut memperjuangkan dan membela hak orang Melayu, India, Cina dan lain-lain kaum di bumi Malaysia.

Menurut Dominic, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Presiden pertama Gerakan ialah orang Melayu iaitu Datuk Syed Hussein Al-Atas.

Selepas itu, yang menjadi Presiden parti bertukar kepada beberapa ikon politik seperti Lim Kheng Yeik, Tan Sri Dr Koh Soo Khoon sehinggalah ke era pimpinan Dominique hari ini.

Kata Dominic, Gerakan masih lagi sebuah parti yang relevan kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun mereka tidak lagi menjadi parti komponen kepada Barisan Nasional (BN).

“Gerakan adalah salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Bersatu dan PAS.

“Prinsip Gerakan adalah KESEDERHANAAN dan untuk melaksanakan prinsip ini, ia sangat mencabar,” katanya dalam sesi bersama pengamal media yang diadakan di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain daripada memberi fokus kepada isu-isu rakyat, ekonomi dan kebudayaan, kata Dominic, Gerakan menggunakan Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan mereka selain daripada mempunyai ideologi sendiri.

Oleh itu, ujar Dominic, dalam usaha untuk meraih keahlian baharu Gerakan, mereka yang ingin menjadi ahli parti perlu memahami ideologi Gerakan.

“Kita menggunakan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai garis panduan dalam Gerakan.

“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mana Islam adalah agama Persekutuan, kita setuju dan ikut,” jelas Dominic dalam memberi pencerahan tentang prinsip dan ideologi yang termaktub dalam Gerakan.

Katanya lagi, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan ada menyebut kebebasan agama yang mana setiap orang bebas untuk mengamalkan dan mengikuti agama masing-masing.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut, Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Gerakan mengikut Perkara 152 ini dan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan, kita gunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia,” katanya sambil menambah, tidak siapapun boleh menghalang individu mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu.

Dominic berkata, ramai ahli politik yang menggunakan pendekatan esktrim untuk menarik sokongan tetapi Gerakan tetap mengguna pakai prinsip KESEDERHANAAN walaupun cabarannya besar dan agak sukar tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita faham bahawa ramai yang tidak mengamalkan KESEDERHANAAN termasuk yang bukan Melayu dan bukan Islam, prinsip kesederhanaan ini juga boleh diterapkan dalam kehidupan.

“Sebagai contoh bagi mereka yang berjudi, tak kan sampai jual rumah, jual isteri dan anak disebabkan judi yang tidak ada kesederhanaan,” kata Dominic merujuk kepada kalangan bukan Melayu dan bukan beragama Islam berkaitan dengan judi.

Gerakan, kata Dominic, dengan prinsip KESEDERHANAAN, akan terus bergerak dan menjadi parti yang relevan kepada rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama. – SM

BACA Dominic Lau dicabar 3 lagi pemimpin untuk pertahan kerusi Presiden GERAKAN

BACA Dominic Lau berjaya pertahan kerusi Presiden GERAKAN

(Visited 52 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button