Politik

Mengapa pula mesyuarat MN pun ditangguhkan?

KALAU mengikut kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gencatan politik dilaksanakan oleh parti itu dan pada masa yang sama Perikatan Nasional (PN) diperkukuhkan.

Justeru itu Pas turut memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat Muafakat Nasional yang sepatutnya didaftarkan sebagai satu kerjasama politik dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan menangguhkan mesyuarat Muafakat Nasional semalam bertujuan meredakan ‘suhu politik’ negara bagi memastikan fokus semua pihak kembali kepada usaha mendepani Covid-19.

Beliau juga meminta pihak pembangkang memberi kerjasama dengan menangguhkan percaturan politik masing-masing bagi memberi ruang kepada kerajaan semasa meneruskan usaha menangani penularan pandemik itu.

“Mesyuarat (Muafakat Nasional) semalam semua tangguh sebab ikut prosedur operasi standard (SOP), mesyuarat Pas dan UMNO pun tangguh dan saya difahamkan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pun tangguh… kita nak redakan suhu politik, elok semua tumpu kepada Covid-19.

“Dalam masa sama politik kena stabil termasuk di pihak pembangkang, kerajaan hari ini perlu diberi peluang untuk meneruskan usaha baik dalam tangani Covid-19,” katanya lapor Bernama.

Sedangkan mesyuarat MT UMNO di Pahang ditangguhkan kerana bagi mengelakkan para pemimpin melanggar SOP PKPB pada masa ini.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata pandemik Covid-19 mengatasi isu-isu lain kerana jangkitan tersebut bukan sekadar berkaitan kesihatan tetapi melibatkan keseluruhan aspek kehidupan manusia.

“Tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggugat atau mengganggu kerja kerajaan hari ini, sama ada di luar atau dalam Parlimen, jadi saya ingat isu politik perlu diredakan atau ditangguh dan tidak perlu timbulkan perkara yang tidak perlu,” katanya.

Mengulas mengenai usul menangguhkan sementara urusan kerajaan di Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, beliau berkata usul tersebut bersifat umum, justeru tidak boleh diutamakan oleh sidang Dewan Rakyat.

“Dalam undang-undang ada dua perkara iaitu general provision (peruntukan umum) dan specific provision (peruntukan khusus). Peruntukan umum tidak boleh mengatasi peruntukan khusus yang antaranya memperuntukkan bahawa urusan kerajaan perlu diutamakan,” katanya.

Maszlee dilaporkan berkata telah mengemukakan usul agar persidangan Dewan Rakyat akan datang menangguhkan terlebih dahulu urusan kerajaan bagi memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibincangkan dan diputuskan.

Menurut bekas Menteri Pendidikan itu menerusi status bebenang akaun Twitternya, usul tersebut penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menentukan kestabilan politik negara.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual berlangsung dari 2 November hingga 15 Disember ini.

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button