fbpx
Politik

Mengapa Dasar Pandang ke Borneo?

Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya wawasan pembangunan negara yang dicorak selepas ini mengambil pendekatan dasar padang ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Najib yang berucap bagi pihak barisan penyokong Barisan Nasional di Parlimen berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai sumber kekayaan semulajadi yang amat besar dan lokasi yang strategik, lebih dekat dengan negara- negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding dengan Semenanjung.

“Melihat kepada ini, negara Indonesia telah mula memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan,” katanya.

Secara asasnya, kata beliau, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya.

“Adalah tidak masuk akal, jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi.


“Rancangan pandang ke Borneo ini jika dirancang dengan betul mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara bagi jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.

Najib berkata, perpaduan yang sebenar ialah Sabah dan Sarawak bersama dengan Malaysia dan Malaysia bersama Sabah dengan Sarawak. Bukan sekadar Sabah untuk Sabahan atau Sarawak untuk Sarawakian sahaja.

“Saya harap kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak dan Pelabur di semenanjung Malaysia akan terbuka hati untuk melabur dan memajukan visi pandang ke Borneo ini secara bersama,” katanya.

TEKS UCAPAN PENUH NAJIB RAZAK

PERBAHASAN BELANJAWAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA, PARLIMEN KELIMA BELAS

DARIPADA : YB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

[PEKAN – UMNO] TARIKH : 10 NOVEMBER 2020 (SELASA)

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Waramatulahi Wabarakatuh.

Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Kewangan dan Kerajaan Perikatan Nasional atas pembentangan Bajet 2021 yang telah dibentangkan pada minggu lepas. Bajet yang dilihat sebagai bajet yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

Saya berterima kasih kepada rakan-rakan dari Barisan Nasional dan dewan yang mulia ini yang memberi peluang kepada saya untuk menyuarakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan dan dan mengemukakan cadangan-cadangan khusus ahli-ahli parlimen Barisan Nasional berhubung Bajet 2021.

Sepertimana yang telah saya bahaskan semasa Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Julai lepas, negara menghadapi cabaran paling besar sejak 100 tahun yang lalu. Dan pada pandangan saya, ketika itu bahawa keadaan akan menjadi lebih berat dan serius sebelum dapat dipulihkan. Dengan izin, “the situation will get worse before it gets better, and we are not out of the woods yet”.

Ahli-ahli Yang Berhormat, bayangkan, jumlah kes baharu Covid19 seluruh dunia semasa PKP mula dilaksanakan di negara kita pada bulan Mac lalu sekitar 20,000 kes sehari. Pada masa saya membahas Titah Diraja pada bulan Julai lalu dalam dewan yang mulia ini, kes baharu seluruh dunia telah naik kepada lebih 200,000 sehari. Hari ini, pada bulan November jumlah kes sudah melonjak dan melebihi 600,000 kes baru setiap hari. Dan kita masih belum memasuki musim sejuk hemisfera utara di mana wabak Covid19 akan lebih mudah menular. Sudah tentu kes-kes dijangka meningkat lebih tinggi lagi setiap hari.

Ini akan memberi tekanan yang paling hebat kepada sistem kesihatan negara-negara ekonomi besar dunia sehingga mereka terpaksa melaksanakan perintah berkurung. Ini sekaligus akan menjejaskan eksport negara dan menyebabkan harga minyak dunia merudum.

Tidak mustahil harga minyak dunia akan terus menjunam ke angka negatif sekali lagi. Siapa pernah terfikir bahawa harga minyak sampai menjadi negatif? Sepertimana yang telah berlaku pada bulan Mac yang lalu. Semasa itu, takungan minyak telah menjadi penuh sehinggakan pengeluar minyak terpaksa membayar kepada pembeli untuk menjual minyak tersebut.

Senario seperti yang telah saya paparkan ini, menunjukkan bahawa kita sedang berada dalam zaman yang “sangat luar biasa dengan cabaran yang amat luar biasa”. Dan ini memerlukan bajet yang luarbiasa, malah bukan setakat bajet tetapi dasar ekonomi negara yang luar biasa dan pendekatan yang juga luar biasa. Dengan izin, “extraordinary times require extraordinary measures”.

Pada saya, Bajet 2021 merupakan sebuah “war time budget”. Negarakita sebenarnya sedang berperang. Berperang dengan musuh yang kita tidak nampak. Kelangsungan hidup dan nyawa rakyat yang terancam dan dalam bahaya.

Kita juga jangan lupa, kelangsungan syarikat-syarikat kecil dansederhana atau “small medium and micro-enterprises” yang betul- betul terkesan. Saya ada terbaca berita semalam, 32 ribu syarikat SME telah gulung tikar atau terlungkup sejak krisis Covid bermula.

Kerajaan PN perlu memahami apa yang sedang dialami oleh rakyat serta ketakutan dan kerisauan yang sentiasa berlegar di dalam fikiran rakyat kini. Apatah lagi sentimen rakyat yang berpandangan pengorbanan dan usaha mereka semasa tempoh PKP yang lepas telah menjadi sia-sia.

Rakyat mengharapkan agar kerajaan sentiasa memastikan mereka berasa terbela dan kerajaan dapat menunjukkan jalan keluar bagi mereka dan negara daripada situasi yang amat menggerunkan ketika ini.

Kerana itu, bajet kali ini bukan sahaja memerlukan pendekatan yang luar biasa, tetapi juga mestilah berani (bold), kreatif dan memberi inspirasi dan pengharapan (bukan PH ye) kepada rakyat.

Bajet negara perlu dilihat sebagai inklusif supaya semua kaum berasa terbela. Pastikan tidak ada mana-mana yang tercicir. Jika ada peruntukan khusus untuk kaum Cina atau India, sila nyatakan dengan jelas, jika tiada sila tambah. Umpamanya keperluan untukmenyambung pelaksanaan “Malaysian Indian Blueprint” yang telah dibatalkan oleh kerajaan PH.

Sehubungan dengan itu, saya gembira apabila terbaca berita bahawa seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah memberitahu Petronas telah berjanji untuk membayar cukai jualan petroleum sebanyak RM1.23 bilion kepada Sabah pada tahun depan tetapi tidak termasuk dalam bajet 2021 ini. Jika benar, saya harap, kita boleh pertimbangkan bayaran segera tambahan sebanyak RM1,000 untuk setiap penerima BPN khusus untuk rakyat Sabah.

Rakyat Sabah perlukan bantuan sekarang bukan tahun depan sebab negeri Sabah telah dilaksanakan PKPB paling lama tempohnya dan merupakan negeri paling terjejas dalam gelombang ketiga Covid ini. Sabah adalah antara negeri yang paling tinggi kadar kemiskinannya dan bertambah teruk semasa zaman gagalkrasi PH di mana kadar pertumbuhan Sabah turun dari 8.2% tahun 2017 (semasa BN) paling tinggi di antara semua negeri dalam Malaysia, menjunam ke paling rendah untuk dua tahun berturut-turut dengan kadar pertumbuhan cuma 1.5% pada tahun 2018 dan 0.5% pada tahun 2019. Kita jangan membiarkan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung bertambah besar. Bantulah Sabah sekarang!

Kerajaan PN telah melakukan yang terbaik semasa PKP yang pertama pada bulan Mac, tetapi perlu diingatkan bahawa bulan Mac telah pun berlalu 8 bulan yang sudah dan hampir semua bantuan yang disalurkan telah habis digunakan.

Walaupun dikatakan bajet ini merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah negara, jumlah saiz bajet 2021 sebanyak RM322.4 bilion sebenarnya hanya RM8 bilion atau 2.5% lebih besar dengan jumlah perbelanjaan tahun 2019 sebanyak RM316.5 bilion semasa kerajaan PH.

Namun defisit bajet tahun 2021 adalah lebih besar berbanding tahun 2019 kerana:

– Kerajaan PH telah menjarah RM54 bilion dari Petronas untuk meningkatkan hasil kerajaan tahun 2019 supaya defisit negara tak begitu ketara.

– Hasil cukai petroleum pada tahun 2019 adalah lebih tinggi berbanding tahun 2021 di mana harga minyak dunia dijangka lebih rendah.

Walaupun ada yang mempercayai propaganda PH bahawa kerajaan PH terpaksa menjarah Petronas pada tahun 2019 sebab mahu bayar balik tunggakan refund GST RM18.2 bilion yang kononnya dirompak BN, laporan PAC untuk GST telah membuktikan bahawa “refund” itu tidak dirompak dan masih ada dalam akaun kerajaan.

Sebenarnya, dividen Petronas yang dijarah tahun 2018 dan 2019 sebab kerajaan PH perlu tanggung kekurangan hasil kerajaan akibat mengganti GST dengan SST dan juga untuk menanggung hasil yang hilang akibat “tax holiday” 3 bulan tahun 2018.

Jika kerajaan PH dahulu tak buat langkah populis dan tidak bertanggungjawab pada tahun 2018, jumlah perbelanjaan untuk tahun 2021 mampu bertambah sehingga RM56 bilion lagi – iaitu RM20 bilion dari perbezaan antara GST dengan SST dan perbezaan dividen Petronas tahun 2019 dan 2021.

Selain itu, ruang untuk perbelanjaan tambahan telah dinafikan PH kerana mereka telah menaikkan nisbah hutang kerajaan KDNK dari 48.7% kepada 54.4% setelah PH meningkatkan hutang langsung negara sekitar RM140 bilion. Bayangkan apa yang kerajaan boleh buat dengan bajet akan datang dengan tambahan sebanyak RM56 bilion yang telah saya sebut tadi dan RM140 bilion ini.

Jelas tindakan populis PH tahun 2018 sudah memakan diri dan mendatangkan mudarat kepada negara pada saat yang kita paling memerlukannya.

Oleh kerana bajet 2021 hanyalah RM8billion lebih tinggi berbanding perbelanjaan kerajaan tahun 2019, maka timbulnya persoalan keberkesanan bajet tahun 2021 untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Ini disebabkan perbelanjaan pada tahun 2019 hampir menyamai bajet 2021, namun ekonomi kita tetap terjejas pada tahun itu walaupun tiada krisis Covid. Kadar pertumbuhan negara mencatat kadar paling rendah sejak 10 tahun lalu dengan dividen-dividen tabung amanah rakyat.

Pertimbangan ini adalah antara salah satu faktor yang mendorong saya membuat saranan untuk melanjutkan moratorium pinjaman secara pukal dan membenarkan pengeluaran “one-off” sehingga RM10,000 dari akaun 1 KWSP sebab dana ini tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara. Inilah yang saya maksudkan sebagai langkah yang berani dan luar biasa yakni “bold and unconventional method” dalam keadaan yang luar biasa.

Pada pendapat saya, dana ini amat diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad serta membantu rakyat yang amat terdesak dan terkesan pada masa ini.

Wang yang dikeluarkan dari akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi pada masa hadapan selepas krisis Covid berlalu. Tiada seorang pun yang berkata bahawa wang yang dikeluarkan sekarang tidak boleh dipulihkan pada masa akan datang.

Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafi pencarum dari mengakses wang milik mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak. Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan untuk memulihkan dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat. Supaya sewaktu mereka bersara nanti, simpanan di dalam Akaun 1 akan mencukupi.

Perkara ini boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu:

Pertama, selepas Covid kerajaan boleh membantu KWSP untuk meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP. Contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49% di dalam syarikat PLUS. Bukan diberikan kepada kroni.

Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum.

Ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat dengan izin “multi-tier dividend structure” di mana baki simpanan yang lebih rendah akan terima dividen yang lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah.

Dengan ini, simpanan masa tua pencarum yang terpaksamengeluarkan wang secara “one-off” dari Akaun 1 dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Perlu saya tegaskan bahawa jumlah aset terkumpul KWSP bernilai RM940 bilion pada masa kini. Seandainya 4 juta pencarum mengeluarkan maksima yang dibenarkan sebanyak RM10,000, ini akan mengakibatkan keperluan dicairkan wang tunai sebanyak RM40 bilion. Saya percaya, tidak semua pencarum akan mengeluarkan jumlah maksima. Kemungkinan, jumlah yang diperlukan sekitar RM20 bilion hingga RM30 bilion.

Saya percaya jumlah ini mampu disediakan oleh KWSP, tambahan lagi Bank Negara boleh membeli bon-bon kerajaan yang dimiliki oleh KWSP. Perlu sedar bahawa 49% aset KWSP adalah dalam bentuk bon kerajaan. Dan Bank Negara boleh membantu dengan pelupusan bon ini tanpa memberi impak besar kepada pasaran bon tempatan.

Kita bukan mahu memaksa KWSP untuk mencairkan aset ekuiti pada masa nilai aset rendah. Secara tidak langsung menambah wang dalam kitaran atau “money circulation” dalam ekonomi agar pekerjaan dapat diselamatkan dan ekonomi dapat dirancakkan dengan penambahan permintaan ini, merupakan keutamaan kita.

Tuan Yang DiPertua,

Di sini saya ingin perjelaskan mengapa pembayaran one off ini amat diperlukan oleh pencarum dan tidak menerima cadangan dalam bajet untuk dibayar RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Antara sebabnya, pembayaran one-off ini sebanyak RM10,000 boleh digunakan sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anak- anak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya.

Selain daripada itu, wang tersebut juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil terutama sekali bagi mereka yang sudah kehilangan kerja. Sebagai contoh, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti motosikal bagi menjadi pemandu penghantar makanan atau barangan.

Rakyat juga boleh menjadikan wang tersebut sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian atau “online business” yang kini semakin pesat mengembang.

Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar cuma RM500 setiap bulan sahaja.

Saya tertarik dengan satu posting yang tular di sosial media di mana seorang juruterbang yang bernama Kapten Azrin yang turut sama terkesan dengan pandemik ini, kini sedang menjalankan perniagaan Warung Kapten dengan menjual makanan seperti mi kari dan bihun sup dengan memakai uniform juruterbang yang lengkap.

Sudah tentu, pengeluaran one off RM10,000 ini dapat membantu Kapten Azrin mengembangkan perniagaan warung ini. Secara tidak langsung, Mak Cik Kiah juga dapat mengembangkan lagi perniagaan pisang goreng beliau kepada perniagaan air tebu dan sebagainya.

Justeru, Tuan Yang DiPertua janganlah sampai rakyat berkata: Yang dimintak KWSP, tetapi yang didapat adalah P-K-P-B!

Tuan Yang DiPertua,

Tuntutan supaya loan moratorium dipanjangkan secara pukal sehingga 6 bulan perlu dipertimbangkan sehabis baik oleh kerajaan. Kalaulah, PKPB boleh dilanjutkan berkali-kali dan ini akan menjejaskan pendapatan rakyat, kenapa pula moratorium tidak boleh dilanjutkan secara automatik dan pukal sekali lagi. Sedangkan bank-bank masih meraih keuntungan yang besar.

Dalam pada itu, kebiasaannya bank-bank memerlukan peminjam membayar balik hanya jika mereka memerlukan dana untuk membuat pinjaman baru.

Dan pada ketika ini permintaan untuk pinjaman baru adalah lemah, tiada keperluan untuk bank memaksa peminjam sedia ada untuk membayar ansuran.

Jika pun permintaan untuk pinjaman baru meningkat semula, Bank Negara Malaysia boleh melonggarkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun atau “Statutory Reserve Ratio” bank agar dana bank boleh menampung keperluan pinjaman baharu.

Tuan Yang DiPertua,

Saban hari saya menerima banyak aduan serta keluhan daripada rakyat yang terkesan daripada pandemik Covid-19. Jika kita lihat melalui platform sosial media seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Rata-rata bukan sahaja daripada golongan B40, malah daripada M40 turut menerima impak yang sangat dahsyat daripada situasi ini.

Pada bajet kali ini, kerajaan hanya memanjangkan moratarium kepada golongan B40, itu pun tidak kepada semua. Ini secara tidak langsung seakan-akan melupakan golongan M40 yang juga menerima kesan yang besar daripada situasi yang kita hadapi kini, malah rata-rata golongan M40 menyuarakan ketidakpuasan mereka bahawa bajet ini tidak memberi banyak manfaat kepada mereka.

Takkan kerajaan nak tunggu M40 berubah B40, baru mereka diberi moratorium?

Saya dengan ini, mencadangkan agar inisiatif moratorium pukal perlu dipanjangkan kepada semua peminjam, termasuk moratorium untuk pinjaman-pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN untuk tempoh 6 bulan yang akan datang sehingga 30 Jun 2021.

Untuk golongan penjawat awam, saya ingin mencadangkan bayaran balik di bawah pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) diberi moratorium sehingga 30 Jun 2021.

Tuan Yang DiPertua,

Sebagai Langkah yang induk yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi menghadapi ancaman serampang dua mata ini, yakni Covid dan tekanan ekonomi. Saya berpendapat 4 langkah utama perlu dilakukan:

Langkah pertama: Kita perlu menyuntik lebih banyak dana terus ketangan rakyat. Inilah ”cash is king” yang dimaksudkan, yang selaludisebutkan oleh YB Langkawi. Kedua-dua Langkah yakni pengeluaran pukal KWSP dan lanjutan secara automatik moratorium pinjaman adalah selaras dengan pendekatan ini. Lagi pun kedua-dua Langkah ini tidak melibatkan penambahan defisit kerajaan atau pun hutang negara.

Bajet yang dibentangkan ini ada mengandungi cadangan-cadangan untuk memindah kewangan kepada tangan rakyat seperti bantuan BPN, bantuan nelayan dipulihkan seperti semasa zaman Barisan Nasional, bantuan kebajikan yang dinaikkan dan lain-lain lagi.

Namun, golongan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta tidak disenaraikan dan mereka juga terkesan apabila lebih-lebih lagi apabila mereka diminta semula pulang ke rumah setelah tiba di kampus masing-masing.

Antara yang patut dipertimbangkan termasuklah pengurangan yuran pengajian kerana kos operasi di kampus sudah berkurangan dalam masa PKP ini memandangkan pembelajaran banyak beralih secara dalam talian. Kos plan data internet seharusnya diberikan dengan percuma atau dengan kadar minima.

Sehubungan dengan itu, jika kerajaan memberikan RM180 kepada golongan B40 seperti yang telah diumumkan dalam bajet 2021, saya memohon pertimbangkanlah untuk memberi sekurang-kurangnya RM100 kepada golongan M40 jika jumlah yang sama tidak boleh diberikan.

Tuan Yang DiPertua,

Saya berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Ini membuktikan pendekatan kerajaan terdahulu dengan memperkenalkan BR1M terbukti sangat membantu rakyat terutama golongan B40. Rata-rata penerima BR1M marah kepada kerajaan PH apabila memberhentikan seketika bantuan tersebut sebelum meneruskannya dengan kadar yang lebih rendah di bawah BSH.

Saya berpendapat jumlah BPN yang diumumkan dalam bajet ini perlulah ditambahbaik sehingga mencecah RM2,000. Golongan bujang contohnya, saya mencadangkan agar mereka menerima RM600 dan bukannya RM350. Sedangkan ini adalah jumlah yang dicadangkan BN untuk tahun 2018 tanpa Covid.

FELDA

Bagi golongan peneroka FELDA yang sentiasa dekat di hati saya, dicadangkan supaya kerajaan melihat semula keputusan yang telah dibuat dalam tahun 1990 di mana sumbangan kerajaan pusat kepada FELDA telah dihentikan. Para peneroka FELDA dan generasi kedua dan ketiga FELDA adalah satu golongan yang perlu mendapat perhatian yang berat. Saya berharap semua program yang boleh membantu golongan peneroka FELDA generasi kedua seperti projek perumahan generasi kedua dan skim Latihan, hendaklah diperkasakan.

PELAN PEMULIHAN STRATEGIK

Tuan Yang DiPertua,

Pada pendapat saya, penumpuan bajet tidak boleh terbatas kepada soal kebajikan rakyat sahaja tanpa memastikan pemulihan ekonomi secara mampan. Justeru, langkah kedua ialah kita memerlukan sebuah Pelan Pemulihan Strategik yang menggambarkan hala tuju yang jelas, bidang-bidang yang akan diberi keutamaan- dan jentera pelaksana (execution) yang mampu memastikan pelan ini dilaksanakan mengikut jadualnya.

Saya amat menghargai usaha kerajaan untuk meneruskan projek- projek connectivity seperti infra-rakyat seperti High Speed Rail (HSR), MRT 3, Gemas Double Tracking, Central Spine Road (CSR), Pan Borneo Highway, RTS dan LRT 3. Projek-projek ini mestilah disegerakan pelaksanaannya kerana ia akan memberi ribuan pekerjaan dan kesan berganda kepada ekonomi di samping menambah daya saing negara jangka Panjang (long term competitiveness).

Kerajaan perlu memberi perhatian kepada jentera pelaksanaan projek-projek tersebut seperti keputusan oleh kerajaan PH memansuhkan Project Delivery Partner yang mengendalikan Projek Lebuhraya Pan Borneo hendaklah dihidupkan semula.

Di samping itu, saya juga mohon agar projek East Coast Railway Link (ECRL) hendaklah disambung semula mengikut jajaran asal.

Kerajaan perlu pastikan, sebanyak mana kerja-kerja boleh diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil terutama sekali di dalam kategori kontrak kelas F secara telus. Mereka berada dalam keadaan tertekan kerana sudah ketiadaan kerja selama dua tahun sejak PH memerintah.

Seperkara lagi yang boleh mencetuskan pertumbuhan ekonomi ialah projek Digital Free Trade Zone yang telah dirancang bersama dengan syarikat Ali Baba dari China. Projek ini membolehkan SME mengeksport barangan mereka ke pasaran China secara dalam talian atau “online”. Mohon diteruskan semula.

Tuan Yang DiPertua,

Negara kita perlukan hala tuju yang jelas dan pelan strategic yang memberi inspirasi kepada rakyat seperti Wawasan 2020 dan Pelan Transformasi Negara (NTP, ETP) yang menjadi panduan untuk pembangunan negara, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kita untuk jangka masa panjang.

Pada tinjauan saya, rancangan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 “Shared Prosperity Vision 2030” yang diwarisi daripada “Gagalkrasi PH” kurang mendapat perhatian rakyat. Sehingga kini, saya tidak pernah mendengar ungkapan “Salam SPV 2-0-3-0” dari sesiapa sepertimana “Salam 1Malaysia”.

Saya harap kerajaan dapat menggubal satu visi yang boleh memberi inspirasi kepada rakyat untuk menghadapi cabaran kini dan mencorak masa hadapan negara bersama. Visi baru ini mestilah disusuli dengan pelan strategik termasuk pelan pelaksanaan yang boleh meyakinkan semua pihak di atas kebarangkalian besar visi ini dapat dipenuhi.

Saya juga cadangkan apa jua visi atau pelan yang dicorakkan perlu mengambil pendekatan pandang ke timur, tetapi bukanlah sejauh ke negara Jepun, cukuplah sehingga kita pandang ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan juga Kalimantan.

Sabah dan Sarawak mempunyai sumber kekayaan semulajadi yang amat besar dan lokasi yang strategik, lebih dekat dengan negara- negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding dengan Semenanjung. Melihat kepada ini, negara Indonesia telah mula memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan.

Secara asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya. Adalah tidak masuk akal, jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi. Rancangan pandang ke Borneo ini jika dirancang dengan betul mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara bagi jangka masa sederhana dan panjang.

Tuan Yang Dipertua,

“Unity” yang sebenar ialah Sabah dan Sarawak bersama denganMalaysia dan Malaysia bersama Sabah dengan Sarawak. Bukan sekadar Sabah untuk Sabahan atau Sarawak untuk Sarawakian sahaja.

Saya harap kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak dan Pelabur di semenanjung Malaysia akan terbuka hati untuk melabur dan memajukan visi pandang ke Borneo ini secara bersama.

MENGGALAKKAN PELABURAN LUAR KE DALAM NEGARA

Di sini juga saya ingin menarik perhatian dewan, maju dan mundurnya sesebuah negara turut bergantung kepada kemasukan pelabur asing.

Saya mencadangkan satu konsep “green lane” digunakan oleh pelaburasing untuk memudahkan kemasukan pelabur asing yang sudah ditapis oleh MITI dan untuk melawat ke Malaysia. Tanpa syarat-syarat SOP yang terlalu ketat. Jika mereka benar-benar layak dan mempunyai niat untuk melabur dan membuka bisnes baharu bagi menjana pekerjaan tempatan kita, dipermudahkan. KKM bersama MKN perlumencari jalan untuk melaksanakan konsep “green lane” ini.

Di samping itu, saya juga pernah mencadangkan pada perbahasan bulan Julai lalu, bahawa inilah masa kerajaan untuk memudahkan dan mempercepatkan lagi proses kelulusan untuk sebarang pelaburan atau perniagaan baharu bagi pelabur-pelabur yang masih yakin.

Jika dulu kita perlu 10 syarat dipenuhi untuk sebuah pelaburan baru untuk dibenarkan bermula operasi, kita luluskan sahaja jika 5 atau 6 dari syarat yang diperlukan telah dipenuhi.

Dalam keadaan ini, kerajaan boleh memberi kelulusan bersyarat supaya pelaburan baru ini boleh bermula operasi secepat mungkin dan perniagaan itu diberikan masa untuk memenuhi baki syarat- syarat yang belum dipenuhi selepas beroperasi.

Keutamaan kerajaan ialah untuk memudahkan dan menggalakkan mereka memulakan operasi bagi menjana aktiviti ekonomi dan pekerjaan baru secepat mungkin.

MEMPERKASAKAN INDUSTRI PELANCONGAN DOMESTIK

Umum mengetahui bahawa sektor pelancongan dan penerbangan merupakan sektor yang paling terkesan dek kerana pandemik Covid19 dan dijangka menjadi sektor yang paling lambat dan mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan.

Sektor ini amat penting kerana dianggarkan sebanyak 3 juta rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menerima kesan dalam sektor pelancongan.

Kebimbangan saya ialah bantuan-bantuan sedia ada seperti “soft loan” dan subsidi gaji pekerja bagi sektor ini hanya merupakan bantuan kepada “supply side” untuk menampung sebahagian kos operasi pemain-pemain industri. Ini merupakan satu risiko kepada pemain industri yang terjejas kerana pertambahan hutang dan perlu menanggung gaji pekerja pada ketika permintaan dan pendapatan mereka terjejas secara berterusan. Ini sepertimana yang pernah dinyatakan oleh YAB Pagoh bahawa industri ini memerlukan sehingga 4 tahun untuk kembali pulih.

Berapa lama pemain industri mampu bertahan jika mereka terus meminjam dan terus membayar sebahagian besar gaji untuk pekerja pada tempoh 4 tahun yang akan datang?

Apa yang diperlukan ialah bantuan untuk meningkatkan permintaan dalam sektor ini seperti memberi baucer pelancongan kepada rakyat untuk menggalakkan mereka melancong secara domestik.

Baucer ini boleh digunakan sebagai wang di mana-mana tempat pelancongan seperti hotel dengan kadar nisbah satu kepada dua (1:2) di mana kerajaan akan memberi subsidi RM1 untuk setiap RM3 yang dibelanjakan oleh pelancong tempatan.

Selain program subsidi gaji khusus untuk industri pelancongan, kerajaan perlu memberi pilihan kepada pekerja industri untuk menjalani ‘upskill’ atau ‘reskill’ dengan skim pinjaman ala PTPTN. Bankdengan sokongan kerajaan boleh menyokong usaha ini yang turut akan menampung kos sara hidup pekerja sepanjang mereka menjalani kursus sementara menunggu industri pelancongan kembali pulih.

SEKTOR PERTANIAN

Tuan Yang DiPertua,

Saya menyambut baik penubuhan Majlis Pekerjaan Negara seperti yang telah diumumkan dan yang akan dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri bertujuan untuk mewujudkan hampir 500,000 peluang pekerjaan baharu selain menangani isu pengangguran di kalangan rakyat.

Tetapi, soal di mana dan sektor apa pekerjaan-pekerjaan diwujudkan adalah sama penting dengan bagaimana untuk mewujudkan pekerjaan.

Dalam hal ini, satu sektor yang perlu dilihat semula dan dirangsangkan semula adalah sektor pertanian. Di mana ianya ada kaitan dengan food security dan kebimbangan bahawa rantaian makanan seluruh dunia mungkin terancam atau terganggu dalam masa Covid ini. Bidang-bidang baharu yang berpotensi perlulah dikenalpasti dan diberi keutamaan untuk dimajukan. Sebagai contoh pengeluaran susu segar oleh syarikat Holstein dengan jenama Farm Fresh dan telah berjaya menguasai 30% daripada pasaran susu segar. Produknya mendapat sambutan yang hangat sehingga permintaan melebihi bekalan.

Pengeluaran susu segar ini merupakan projek yang boleh disifatkansebagai ‘import substitution’ iaitu mengganti barang makanan yang diimport dan berpotensi untuk menjana keuntungan. Dan projek inijuga membuktikan bahawa Malaysia mampu mencapai “self-sufficiency” dalam industri yang berkenaan.

Kerajaan juga perlu mengubah persepsi bahawa sektor pertanian tidak setanding sektor-sektor lain seperti pekerjaan dalam bandar. Hakikatnya, sektor pertanian merupakan industri yang disanjung tinggi serta memberi pulangan yang lumayan kepada rakyat.

Yang DiPertua,

Satu generasi rakyat Malaysia telah dinafikan peluang untuk menjadi peneroka FELDA dengan menghentikan pengambilan peneroka baru setelah kerajaan membuat keputusan pada tahun 1990. Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk kerajaan menimbang semula dan merancang dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah bagi mewujudkan satu generasi baharu peneroka FELDA untuk bidang- bidang makanan dan ternakan baharu seperti yang disebutkan di atas.

FISCAL SUSTAINABILITY

Tuan Yang DiPertua

Adalah penting dalam usaha pemulihan ekonomi ini, soalan Kemampanan Kewangan kerajaan atau Fiscal Sustainability diberi perhatian yang berat. Inilah langkah ketiga.

Tindakan populis kerajaan PH memansuhkan GST dan meningkatkan semula kebergantungan kepada hasil minyak yang telah dapat dikurangkan dengan begitu berkesan oleh kerajaan BN.

Peruntukan untuk Covid telah diasingkan daripada perbelanjaan pengurusan sebanyak RM17 bilion bagi tahun 2021 dan RM38 bilion bagi tahun 2020. Sepatutnya peruntukan ini dimasukkan dalam peruntukan perbelanjaan yang akan menunjukkan defisit perbelanjaan mengurus. Ini bermakna kerajaan meminjam untuk menampung perbelanjaan mengurus iaitu termasuk pembayaran gaji dan perbekalan. Di samping itu, hutang negara telah meningkat daripada RM686 bilion pada zaman BN kepada RM874 bilion pada akhir tahun ini dan dijangka meningkat kepada RM959 bilion pada tahun 2021. Defisit fiskal telah meningkat kepada 6% pada tahun 2020 dan 5.4% pada tahun 2021. Ini menunjukkan negara sedangmengalami ‘twin deficit’ atau defisit berkembar iaitu defisit perbelanjaan mengurus dan defisit fiskal.

Sehubungan dengan ini, saya bimbang ‘revenue projection’ untuk 2021 mungkin tersasar atau tidak mencapai tahap yang diandaikan memandangkan keadaan ekonomi yang begitu lemah menyebabkan pendapatan syarikat dan individu akan merosot mendadak.

Kerajaan juga disarankan tidak terlalu bergantung kepada ramalan agensi-agensi luar seperti ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dirujuk oleh YB Menteri Kewangan. Ini adalah kerana, pada hakikatnya IMF tidak ada pengalaman untuk membuat ramalan dalam keadaan pandemic global yang sangat tidak menentu. Seperti contoh, untuk tahun 2020 sahaja IMF telah mengkaji semula “downward revision” sebanyak 3 kali iaitu:

Pada Januari 2020, IMF meramalkan ekonomi negara berkembang sebanyak 3% untuk bulan April telah dikurangkan kepada (negatif) – 1.7%, bulan Jun (negatif) -3.8% dan Oktober 2020 (negatif) -6%.

Sebaliknya, YB Menteri Kewangan meramalkan ekonomi kita menyusut sebanyak 4.5% untuk tahun 2020 dan pertumbuhan 6.6 sehingga 7.5% untuk tahun hadapan.

Soalnya, adakah kerajaan sudah bersedia jika ramalan KDNK tahun ini dan tahun hadapan tersasar jauh daripada ramalan awal. Kerana ianya mempunyai impak kepada defisit, fiskal dan nisbah hutang negara. Pendek kata, kerajaan tidak boleh bergantung kepada ramalanperkembangan KDNK berdasarkan kepada “best case scenario”. Kita juga mesti bersedia untuk menghadapi keadaan “worst case scenario”.

Sebagai perancangan masa hadapan, adalah penting untuk kerajaan mencari jalan meningkatkan hasil negara dan memperluaskan sumber hasil negara setelah Covid berakhir.

Kerajaan perlu menyambut suara Rakyat.

Pada masa senang dan ekonomi sedang berkembang, ada perlunya kerajaan mempunyai unit komunikasi untuk menerangkan dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan agar ianya tidak disalah faham atau diputar belit oleh pihak yang mahu hasut dan tipu Rakyat.

Tapi pada zaman krisis di mana peruntukan lebih diperlukan untuk selamatkan Rakyat, kenaikan peruntukan 4 kali ganda bagi agensi JASA berbanding zaman BN adalah sukar diterima orang ramai dan mengundang kemarahan rakyat.

Saya boleh terima jikalau peruntukan tersebut dibelanjakan untukpembelian pelitup muka atau “sanitizer” kepada rakyat mahu pundiberi kepada ibu bapa untuk menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid-murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah-sekolah telah ditutup sehingga awal tahun hadapan.

Suara rakyat, suara keramat. Perkara yang tidak disenangi rakyat jangan diteruskan.

COVID-19

Tuan Yang DiPertua

Langkah ke-4 adalah pengawalan Covid-19. Walaupun dikawal baik pada peringkat awal, tidak boleh dinafikan bahawa gelombang ketiga Covid pada masa kini menakutkan dan mengecewakan rakyat. Meskipun kedai-kedai dan restoran dibuka, tetapi bilangan pelanggan amatlah kecil.

Kerajaan perlu mengakui ada kelemahan dan ada kesilapan dalam perang memerangi wabak ini. Misalnya, apabila kita membenarkan pelawat luar negara kuarantin di rumah, dan tidak ada keperluan kuarantin bagi mereka yang pulang dari Sabah sebelum 27 September 2020 dan hanya memulakan kuarantin 3 hari selepas Tarikh tersebut. Penularan Covid di hampir semua pusat tahanan dan penjara seluruh negara juga adalah amat mengecewakan sedangkan SOP patut diperketatkan dan dipatuhi.

Pihak sebelah sana jangan senyum terlalu lebar kerana kita masih lagi ingat YB Semporna yang pernah menyebut bahawa beliau sanggup mati dengan mengadakan pilihanraya pada masa Covid berbanding menyerah Kembali kuasa dan juga YB Lahad Datu yang begitu yakin memberitahu pengundi supaya tidak takut dengan Covid kerana kononnya, ia hanyalah wayang dari kerajaan pusat dan kes Covid di Sabah menjadi kosong sebaik tamatnya PRN. Kita juga tidak lupa bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan sebulat suara menyokong DUN Sabah dibubar dan PRN Sabah diadakan. Sebaliknya, Barisan Nasional yang membantah DUN Sabah dibubar dan akibatnya PRN diadakan sehingga kita memohon 3 kali di mahkamah untuk menghentikan PRN.

Sebab itu, kita hendaklah berhenti polemic salah menyalahi untuk gelombang ketiga ini. Masing-masing mempunyai salah dan kita perlu menjawab kepada rakyat dengan bersama-sama berganding bahu memastikan gelombang ketiga ini dapat dihapuskan.

Pada pendapat saya, antara ancaman terbesar negara pada ketika ini adalah pencerobohan sempadan negara oleh PATI dari negara-negara jiran yang terus mencatat kes Covid terbaru yang amat tinggi. Saya mencadang agar warganegara Malaysia yang ditangkap atau terlibat dalam penyeludupan PATI dikenakan tindakan di bawah Akta SOSMAmemandangkan ini merupakan zaman ‘perang’ dan tindakan inimengancam keselamatan seluruh negara. Tanpa pertolongan dari pihak dalam, adalah lebih sukar bagi PATI untuk diseludup masuk.

Amaran yang tegas juga perlu dibuat dan disampaikan kepada negara jiran kepada mereka didapati bersalah membawa masuk PATI, akan dikenakan hukuman berat iaitu penjara mandatori. Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi ganjaran kepada sesiapa yang ada maklumat tentang penyeludupan PATI.

Tiada gunanya untuk seluruh negara menjalani PKPB, PKPD mahu pun PKPP (atau PKP apa-apa) selama berbulan sehingga Covid memulih dan kerajaan terpaksa memperuntukkan bantuan berbillion-billion tetapi disia-siakan oleh penceroboh sempadan yang berjaya menyeludup ke dalam negara.

Rakyat sudah fobia dengan 3 huruf PKP ini atau MCO ini. Setiap kali rakyat melihat perkataan ini, ini membawa maksud pendapatan akan terjejas dan kebebasan mereka tersekat. Dan bagi memastikan sokongan rakyat tetap terhadap kerajaan hari ini, Covid mesti dikawal baik.

Harap kesilapan-kesilapan seperti ini tidak diulangi dan segala kelemahan diperbaiki.

Tuan Yang DiPertua,

Kita dalam dewan ini adalah wakil rakyat dan ada tanggungjawab untuk menyuarakan yang terbaik bagi rakyat. Kita bukannya wakil atau jurucakap bajet.

Yang baik kita puji, yang tak elok kita perbaiki, yang langsung tak boleh diterima kita harap dapat dipinda. Harap kerajaan terbuka hati untuk mengambil kira pandangan dan cadangan kita.

Bajet 2021 telah dapat menyediakan keperluan-keperluan rakyat seperti yang telah saya terangkan tadi. Namun, berdasarkan kepada“expectation” atau pengharapan rakyat ianya patut ditokok tambah lagi dan dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat kepada bajet ini akan menjadi lebih mantap dan menyeluruh. Saya yakin dan percaya keputusan untuk menerima dua cadangan utama yakni moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 dan kelulusan untuk pengeluaran KWSP sebanyak RM10k secara one-off serta lain-lain perkara yang saya telah cadangkan akan membawa kepada kepuasan rakyat yang lebih tinggi terhadap kerajaan.

Terima kasih, Tuan Yang DiPertua.

 

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button